Saturday, November 14, 2009

Hari Ihtifal Brilliant Kindy 2009

Hari Ihtifal Brilliant Kindy telah diadakan pada 8hb November 2009 bertempat di Auditorium Perpustakaan Awam Bintulu. Hari Ihtifal ini telah dirasmikan oleh wakil Wanita JIM Pusat Pn Hjh Ir Endok Sempo bt Mohd Tahir.

Brilliant Kindy merupakan sebuah tadika yang diuruskan oleh Wanita JIM Sarawak. Ia adalah sebuah tadika yang mempunyai visi untuk melahirkan insan soleh wa musleh disamping memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris murid-murid di tadika ini. Banyak aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada mereka dari awal lagi tentang pentingnya ‘volunteerism’ di dalam kehidupan seorang muslim. Pn Hj Ir Endok telah berkongsi dengan ibubapa tentang peranan mereka di dalam mendidik anak-anak di zaman yang mencabar ini.

Ucapan dari Pn Hjh Ir Endok dan pemberian sejambak bunga kepada jemputan khas

kita dari Adik Yasmin, anak kepada Akhi Roslan, Timbalan YDP JIM Bintulu.

Persembahan dari anak-anak Brilliant Kindy bermula selepas ucapan rasmi. Ianya dimulakan dengan bacaan Azan dan AlQuran serta terjemahannya oleh anak-anak dari Brilliant Kindy. Sejurus selepas itu, kesemua murid dari umur empat hingga enam tahun telah naik ke pentas untuk menyampaikan Nasyeed Doa Pagi, Asmaulhusna , Demi Matahari dan Children of the World dengan aksi mereka yang berbagai-bagai dan sangat membanggakan.

Beramai-ramai menyampaikan Doa Pagi .

Montaj yang menggambarkan Tadika Brilliant Kindy serta aktiviti-aktiviti murid dan guru ditayangkan selepas itu. Montaj yang diselitkan lagu Zain Bhika itu telah menarik perhatian ibubapa yang hadir. Ramai yang telah membuat tempahan untuk membeli montaj-montaj yang ditunjukkan pada hari itu.

Selepas itu anak-anak yang berumur 6 tahun membuat persembahan yang bertajuk ‘Give Thanks to Allah’ dan ‘Allah Yang ku Cintai’. Acara seterusnya yang turut membawa keceriaan hari itu adalah persembahan anak-anak 4 tahun yang menggayakan fesyen-fesyen Islam. Gaya anak-anak yang comel ini telah menarik banyak klik kamera dari bawah pentas.

Program yang dinanti-nantikan adalah persembahan pentomim daripada anak-anak 6 tahun. Pentomim yang menceritakan kisah Nabi Musa dan Firaun sangat menarik perhatian ibubapa dan anak-anak lain. Pentomim menggambarkan Firaun, Asiah dan pengikut-pengikut mereka. Dengan membawa beberapa patung kecil, anak-anak perempuan berlakun sebagai umat zaman Nabi Musa yang dirampas anak-anak mereka oleh Firaun yang zalim. Persembahan pentomim oleh anak-anak 6 tahun itu sangat efektif dan dapat menyebabkan penonton menghayati kisah itu.

Anak-anak 6 tahun – pelakon-pelakon Pentomim Nabi Musa dan Firaun

Sebelum upacara penyampaian sijil kepada anak-anak yang akan meninggalkan Brilliant Kindy, anak-anak 5 tahun telah menyampaikan persembahan mereka bertajuk ‘Terimakasih Tuhan’, ‘You are my Sunshine’ dan ‘Old McDonald’

Upacara kemuncak pada hari itu adalah penyampaian sijil untuk Kelas 2009. Sebelum upacara itu, sebuah lagi montaj telah ditayangkan. Montaj kali ini menunjukkan gambar-gambar anak-anak 6 tahun semasa menjalankan aktiviti-aktivit mereka semasa berumur 4, 5 dan 6 tahun. Selepas itu, gambar-gambar mereka dengan jubah ihtifal mereka juga ditayangkan.

Seterusnya, penyampaian sijil kepada anak-anak 6 tahun telah di lakukan oleh Pn Hjh Ir Endok Sempo, diiringi oleh Pn Haziaah Sahari, wakil Ketua Wanita JIM Sarawak yang tidak dapat hadir pada hari itu.Program berakhir pada pukul 4:50 petang diikuti dengan minum petang.

Laporan Oleh : Pn Haziaah Sahari, Timbalan Ketua Wanita JIM Sarawak & Ketua Wanita JIM Bintulu

Anak-anak 6 tahun dengan jubah ihtifal mereka

Friday, August 14, 2009

Khidmat Homestay Tasneem

Projek Ekonomi Wanita JIM Ipoh.
Kami menyediakan Khidmat Homestay Tasneem tidak jauh dari Tol Ipoh selatan.
Rumah Banglow, bilik 3, lengkap peralatan perabut dan dapur masak.
Harga berpatutan.
Sila hubungi:
Pn Hasnidar Bt Ghazali
Pengurus Homestay Tasneem
019-5584996.

Wednesday, August 05, 2009

Pendirian terhadap penahanan Wanita dan kanak-kanak dalam Himpunan Mansuhkan ISA

Kenyataan Media Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

PENDIRIAN TERHADAP PENAHANAN WANITA DAN KANAK-KANAK DALAM HIMPUNAN MANSUHKAN ISA 1 OGOS 2009.

Wanita JIM membantah keras tindakan pihak keselamatan menahan puluhan wanita dan kanak-kanak dalam Himpunan Mansuhkan ISA yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 1 Ogos yang lalu.

Wanita JIM menganggap penahanan tersebut adalah satu tindakan yang amat tidak wajar memandangkan kelompok wanita dan kanak-kanak ini bukanlah kelompok yang bertindak ganas dan merusuh atau menimbulkan kacau bilau. Malahan kelompok wanita dan kanak-kanak adalah merupakan golongan yang sepatutnya dilindungi dan dijaga kebajikan mereka dalam sebarang suasana terutamanya dalam situasi yang tegang.

Harus diingat, golongan wanita dan kanak-kanak yang ditahan baru-baru ini adalah merupakan sekelompok rakyat biasa yang ingin menggunakan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia, untuk berhimpun secara AMAN bagi menyuarakan keprihatinan dan sokongan mereka terhadap usaha memansuhkan akta kejam ISA.

Wanita JIM mendesak agar pihak berwajib menghentikan segala taktik kotor dan menakut-nakutkan (harassment) melalui penahanan golongan wanita dan kanak-kanak secara rambang sepertimana yang berlaku pada Sabtu lepas.

Wanita JIM juga menggesa pihak kerajaan memansuhkan segera akta kejam ISA yang memberi kesan amat negatif kepada keluarga tahanan ISA terutamanya para isteri dan anak-anak yang masih bergantung kepada suami dan bapa mereka. Penahanan tanpa bicara di bawah akta kejam ISA memisahkan para suami dan bapa dari keluarga mereka tanpa sebarang pembelaan. Isteri dan anak-anak ditinggalkan tertanya-tanya apakah sebenarnya kesalahan `besar’ suami dan bapa kesayangan mereka sehingga dipenjarakan bertahun-tahun lamanya. Tiada mahkamah yang mengadili mereka, tiada pembuktian ke atas tuduhan melulu yang dikenakan, tiada tempoh dan had masa hukuman yang ditetapkan - menjadikan keluarga tahanan ISA hilang punca dan ditinggalkan meraba-raba dalam kegelapan dan ketidakpastian.

Sampai bilakah negara Malaysia yang tercinta ini harus mempunyai satu akta yang sama sekali tidak adil, kuno dan tidak bertepatan dengan ciri-ciri ketamadunan yang boleh dibanggakan?

Yakinlah, semua rakyat Malaysia boleh terus hidup aman sejahtera tanpa belenggu akta kejam ISA. Untuk masa depan yang lebih sempurna, mansuhkan akta ISA segera!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat

Wednesday, July 29, 2009

Tuhan Dah Bayar Tunai Saya-Secebis perkongsian

‘‘Tuhan dah bayar tunai pada saya, saya terlalu berdosa sehingga menyebabkan keluarga saya menanggung susah dan anak saya terpaksa berhenti belajar, nak makan pun susah. Untuk apa lagi lantik peguam untuk saya? Saya telah diburu dosa, kalau tidak terdesak, saya tak nak buat semua ini tetapi setiap detik saya diburu ah long.’’
Sambil menangis teresak-esak, dia meminta supaya mahkamah meneruskan prosiding menjatuhkan hukuman hari ini kerana mendakwa dia telah cukup terseksa dan tidak mampu melantik peguam bela.
"Saya mengakui kesilapan saya, saya benar-benar bertaubat dan insaf atas perbuatan saya, di samping itu saya mahu dekatkan diri kepada Tuhan".
Demikian antara perkataan yang pernah diucapkan oleh seorang wanita yang mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah hujung tahun lalu. Amat benar sekali, kini wanita ini sudah jauh berbeza. Sejak dia sama-sama menjadi penghuni sementara di Penjara Wanita Kajang, pasti kami akan bertemunya dalam setiap kunjungan kami. Dia pasti akan berada di barisan hadapan serta akan memberikan sepenuh perhatiannya kepada yang disampaikan oleh kami atau penceramah jemputan dari JIM yang lainnya. Sangat mudah pula wanita ini tiba-tiba akan merasa begitu hiba lalu menangis mengenangkan nasibnya.
Alhamdulillah, tahun ini kami berjaya membawa masuk Ustazah Maznah Daud, Ustaz Alias Othman, Ustaz Shaharom Abu Hassan ( sekadar menyebut beberapa nama, maaf kalau tak tersebut yang lainnya).
Kunjungan kami ke Penjara Wanita Kajang hari ini ( 28 Julai 2009) menemukan kami sekali lagi dengan wanita ini. Sebelum kami berpisah pada kali ini, saya menegurnya,“Kak Y, anak-anak sihat ke?”
“Sihat ustazah, tapi akak tengah sedih ni..” tiba-tiba airmatanya mengalir.
“Semalam anak-anak akak datang .. dua-duanya datang. Mereka nak konvo bulan depan.. tapi pasti akak tak dapat bersama mereka.. sedih la.....”
Airmata bergenang di kelopak matanya..wajahnya tertunduk..
”Sorang tu bakal doktor, adiknya tu bakal peguam..”
”Tahniah kak”.. sambil saya memegang erat tangannya..Tapi airmatanya mengalir deras tak dapat ditahan lagi.. Dia menangis semahunya..
Saya hanya mampu memegang bahunya, menatap wajahnya dan berkata...”Ikhlaskan saja ye kak... ”
Dia terus menunduk dan saya terpaksa berlalu kerana waktu kunjungan kami sudah cukup.
Julai 2009, cukuplah sudah dua tahun Unit Santunan Wanita di bawah PAKSI-JIM yang diterajui oleh Wanita JIM Hulu Langat dan Wanita JIM Sepang ( Jazakumullahu khairan katheera kepada beberapa orang sahabat setia~ Kak Arfah Ahmad, Kak Maznah, Kak Hamidah Karim, Kak Asnidar dan yang lainnya) yang tak jemu-jemu menyumbang tenaga, berkongsi serba sedikit apa yang termampu untuk mencurah ilmu bagai siraman petunjuk buat mereka melalui projek yang kami namakan sebagai HOPe ( Holistic Outreach Programme)..
Bertemu dengan wanita-wanita seperti kak Y dan ramai lagi di sana sering memberikan kami semangat untuk terus berkunjung lagi ke penjara itu walaupun mungkin sekadar memberikan mereka harapan bahawa mereka mampu untuk mengislah diri. Semacam ada satu kebahagiaan dirasa.
Walaupun di celah-celah kesibukan kami dengan urusan serta tugasan lain dalam JIM, urusan keluarga dan hal-hal kehidupan yang lainnya, saudara-saudara kami di sebalik tirai besi dan tembok batu itu seolah-olah terus dan tetap menggamit kami untuk melangkahkan kaki ke sana..
Dulu pernah juga kedengaran kedengaran suara-suara yang menyatakan..”Berbaloi kah you all ke penjara tu.. bolehkah pesalah-pesalah tegar tu berubah.??.
”Ramai lagi mad’u lain..”
Tak terjawab kami persoalan itu tetapi bak kata pepatah.. Tak kenal maka tak cinta.. kebahagiaan mula kami rasa apabila berusaha untuk memberi.. Bukankah di mana sahaja kita berada, kewajiban kita adalah untuk menyebarkan satu keyakinan bahawa:
ISLAM IS THE WAY OF LIFE AND THE WAY OF DIE!!
Dan saat ini, penjara itu menjadi salah satu medannya...J
ZKK kepada semua yang mendoakan.
Faridah Maludin
PAKSI-JIM

Monday, July 27, 2009

Seminar Keibubapaan

Alhamdulillah Seminar Keibubapaan anjuran Kelab Kelas TAhun SRIAAG dengan kerjasama JK Hal Ehwal Pra- Sekolah dan Aulad telah berjalan lancar di Kulliyyah Engineering, UIA.

Peserta seramai 34 orang telah hadir menjayakan program bermanfaat ini.
Pak Utih, penceramah motivasi telah mengendalikan 3 sesi dengan baik dari pagi hingga petang.
Antara poin penting dalam seminar tersebut adalah:
Lelaki mempunyai penglihatan 'zoom' sedang perempuan melihat secara 'wide angle'. Jangan suruh anak lelaki cari barang dalam almari sebab dia susah nak jumpa kalau tak organize elok2. Hikmahnya, lelaki melihat dengan pandangan jauh ke hadapan.

Telinga lelaki hanya berfungsi di sebelah kanan sahaja. Bila beri arahan, sebut satu persatu perkara, bukan 4 perkara sekaligus sebab telinganya hanya menangkap 1 atau 2 perkara sahaja.

Lelaki kurang empati kerana tiada emosi. Satu survey menggambarkan seorang anak perempuan ditinggalkan di tepi jalan dan kamera tersembunyi diletakkan dari satu sudut menunjukkan dari ramai orang yang lalu lalang, hanya 1% lelaki yang akan singgah dan bertanya kepada anak perempuan tersebut. Selainnya adalah wanita yang akan prihatin spt, "Are you okay? Where's your mom? Do you want me to accompany you?"

Anak lelaki sukakan BENDA, sedang anak perempuan suka pada ORANG. Sebab itu anak lelaki suka main robot, kereta, plane etc. Anak perempuan suka main doll, main masak2 etc. Apabila meningkat dewasa, lelaki memang lebih suka bermain berbanding perempuan.

Anak lelaki tidak mempunyai density color yang tinggi pada mata berbanding anak perempuan. Oleh itu, lelaki suka simple color (putih, hitam, biru, merah), dan perempuan appreciate more colors (sebab tu suka shopping!!)

Anak lelaki mempunyai energy yang banyak..sebab tu tak leh dok diam.

Anak lelaki berumur 7 tahun ke atas sangat memandang tinggi pada bapa. Maka, bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan peribadi anak lelaki. Dan sesi akhir menekankan tentang cara belajar bagi anak lelaki dan perempuan yang berbeza.

Program berakhir pada jam 4.45 petang dan alhamdulillah peserta mengambil kesempatan mendapatkan autograf Pak Utih untuk buku Suami Memimpin Isteri Mengurus.

Terima kasih buat semua yang terlibat memberikan sokongan dan menjayakan program ini.

Moga Allah terima amal ini. Amin.

Anfaal Saari

JK Hal Ehwal Pra Sekolah & Aulad

AJK Kelab Kelas Tahun 1 SRIAAG

PROGRAM RAMAH MESRA RAUDHATUS SAKINAH KELANTAN BERSAMA SUKARELAWAN DAN MEDIA

Alhamdulillah satu program ramah mesra RS Kelantan telah dijalankan semalam, Jumaat 24 Julai 2009 @ 2 Syaaban 1430H di Sutera Inn, Kota Bharu. Program yang bertujuan untuk meraikan sukarelawan RS dan media telah dihadiri oleh hampir 30 orang seperti mana yang kami rancangkan.

Disertakan beberapa gambar untuk tatapan bersama.

En Che Rahimi yang merupakan TYDP JIM Kelantan mewakili YDP memberikan ucapan aluan dan pengenalan kepada JIM.

Majlis diteruskan dengan tayangan multimedia sepintas lalu RSK dan diikuti dengan ucapan dari Pengerusi RSK, Dr Zaharah Sulaiman.
Alhamdulillah wakil media dari KOSMO, Utusan dan Harakah ada bersama pada masa itu. Satu kenyataan akhbar berkenaan majlis telah dikeluarkan.

Kelihatan beberapa wakil media bersama JK RSK di meja hadapan manakala di bahagian belakang sebahagian dari sukarelawan yang hadir pada program tersebut.

Dr Din Suhaimi telah mengendalikan sesi perkongsian pengalaman sukarelawan dan semua yang terlibat dalam mengasas, menggerak dan menghidupkan RSK. Terima kasih Dr Din. Moderator yang telah menghidupkan suasana perkongsian.

Sebelum program berakhir, En Che Rahimi selaku wakil YDP diiringi oleh Dr Hafidzah selaku Ketua Wanita menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahai kepada semua sukarelawan yang terlibat.

Antara JK negeri, JK RSK dan sukarelawan yang hadir.


Ini pula barisan Gen Y dengan gaya mereka tersendiri yang merupakan Warden, Pengurus, Sukarelawan dan JK RSK.

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini.

Semoga perkongsian ini akan memberi kami lebih semangat dan bersungguh dalam kerja amal maaruf nahi mungkar.

Laporan:

Dr Zaharah Sulaiman

Raudhatus Sakinah Kelantan

Sila layari rskelantan.blogspot.com

Tuesday, July 14, 2009

TOT ABJZ ZON UTARA

TOT ABJZ Zon Utara selesai sudah. Kini tiba giliran para peserta pula menyusun langkah. Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk semarakkan kempen ABJZ di mana-mana sahaja.

Alhamdulillah, program sehari ''Training of Trainers" Anda Bijak Jauhi Zina Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) telah selamat diadakan pada 11 Julai 2009 di Dewan Zamrud 2, Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, SPU. 56 orang peserta telah hadir dalam program ini.

Program ini dianjurkan oleh Wanita JIM Pulau Pinang dan Raudhatus Sakinah dengan kerjasama J/K MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, KRJ PP dan Wanita JIM SPU. Pihak Lembaga Pengurusan Induk Raudhatus Sakinah (LPIRS) yang diketuai oleh Ummi Rose, Cikgu Siti Aini, Kak Roha dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) telah menjayakan program ini.

Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat untuk bersama-sama menjayakan kempen ABJZ di tempat masing masing agar lebih ramai lagi remaja dapat disantuni.

Ummi Rose memulakan pembentangan Sekilas ABJZ: Di sini bermula segalanya diikuti oleh Cikgu Siti Aini; Tip-tip pengurusan dan penganjuran ABJZ. Ummi Rose kemudian mengambil alih dengan pengisian Berapa Harga Dirimu diikuti oleh Kak Yus ;Aspek Reproduksi yang perlu ditekankan dalam ABJZ.

Pada sebelah petang Kak Roha mengendalikan sesi Talk Show:Sembang-sembang Cinta; Beliau telah berkongsi tip tatacara mengendalikan forum. Para peserta seterusnya menjalani sesi Bengkel ABJZ: Bukan sekadar Teori mengikut kumpulan yang ditetapkan dan seterusnya mempersembahkan hasil perbincangan mereka.


Buku-buku tulisan aktivis JIM agak laris dijual dengan adanya dua program selari pada hari tersebut (selain belian peserta TOT ABJZ). Ketiga-tiga program berkongsi ruang legar yang sama (agak comel untuk tiga dewan). AJK pendaftaran TOT ABJZ telah bertukar menjadi penjual buku selepas waktu rehat. Agak sibuk juga mereka melayani soalan-soalan dari orang luar.

Pada mulanya mereka tertarik dengan bunting yang diletakkan dipintu masuk dewan. Kami mengambil peluang untuk menerangkan tentang ABJZ dan JIM dan seterusnya mempromosikan buku-buku tulisan aktivis JIM. “Buku ini sesuai untuk anak remaja. Penulisnya ada kat dalam. Encik/puan nak autograf ke?”, “Yang ni pulak sesuai untuk isteri”.

Jazakumullahu khairan kathira kepada rombongan dari RS pusat kerana sudi datang ke utara walaupun mempunyai banyak urusan lain.

Semoga peserta dapat menggunakan segala tip yang telah dikongsi oleh rombongan RS pusat dengan sebaik mungkin. Kerja-kerja nahi mungkar terutamanya dalam menangani gejala sosial perlu digiatkan di serata tempat. Semoga usaha-usaha kerdil ini dikira sebagai amal soleh kita kelak.


Laporan:

Inayah Isa
Koordinator
TOT ABJZ Zon Utara