Friday, July 16, 2004

Taatkan suami tidak bermakna melupakan ibu bapa

'Ibu bapa saya bercerai ketika umur saya 13 tahun. Saya tinggal bersama ibu
saya & adik2 saya. jadi ibu yg telah membesarkan kami sampai belajar keluar
negeri sekaligus sampai berumahtangga. Dipendekkan cerita...saya kiranya macam 'anak harapan' utk menjaga. keluarga. Persoalan saya, apabila sudah berumahtangga suami mempunyai hak ke atas isteri lebih dari ibu bapa (si isteri) bukan. Adakah bermaksud tanggungjawab saya terhadap ibu bapa saya sudah hilang sebab suami adalah priority.
Sebab suami selalu mengungkit yg isteri harus mendengar cakap dia lebih dari ibu bapa saya sendiri..Adakah itu adil namanya setelah ibu saya berpenat lelah menjaga kami
sekeluarga....suami hanya dgn kita ( saya berkahwin genap setahun)..Harap puan dapat memberi nasihat yg sewajarnya.

Mona

Jawapan:

Mendirikan rumahtangga tidak bermakna memutuskan hubungan dengan keluarga sedia ada, apa lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita. Kewajipan mentaati suami juga tidak bermakna mengharuskan kita mengetepikan ibu bapa. Tuntutan supaya berbakti kepada kedua ibu bapa tidak terbatas ketika sebelum berkahwin saja. Allah berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 23 -24, maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "op!", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah untuk mereka dengan berkata: "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Lantaran itu, suami isteri harus saling bantu membantu supaya masing-masing menjadi anak yang soleh, berbakti kepada ibu dan ayah. Sesungguhnya tanda kecintaan dan kasih sayang kita kepada suami atau isteri ialah kita menyayangi orang yang disayanginya. Nabi Muhammad yang sangat sayangkan isterinya khadijah, tidak pernah lupa untuk berbuat baik kepada teman-teman yang disayangi oleh Khadijah meskipun setelah Khadijah telah tiada. Perlu diingat, apabila kita berbuat baik kepada ibu bapa kita, kebaikan itu akan dicontohi oleh anak-anak kita. Insya Allah bila mereka telah dewasa dan kita telah meningkat tua, mereka akan mengikuti apa yang telah kita lakukan pada ibu bapa kita. Allahu A'lam.

No comments: