Saturday, January 07, 2006

Mandul, bukan hanya masalah isteri sahaja

Mandul, bukan hanya masalah isteri sahaja

Soalan

Saya telah berkahwin selama 5 tahun tapi masih belum dikurniakan
zuriat.Nampaknya masih belum ada tanda-tanda yang saya akan hamil dalam tempoh waktu terdekat ini. Kerana kekurangan diri ini,saya disisihkan oleh ibu mertua, saya selalu dimarahi,dileteri dan disindir. Saya selalu dibanding-bandingkan dengan wanita lain yang subur. Saudara mara, ipar duai sebelah suami selalu menyindir saya, sehinggakan kadangkala saya menjadi takut untuk bercampur dengan masyarakat keliling. Bukan saya tidak mahu berubat tradisional mahupun moden, tetapi suami enggan menyertai saya
setiap kali saya hendak membuat rawatan. Seolah-olah suami yakin yang
mengalami masalah kesuburan adalah saya, jadi hanya saya saja yang perlu mendapatkan rawatan. Bantulah saya, kerana saya hampir putus asa dengan kehidupan ini.Saya tidak tahan hidup dicemuh hanya kerana saya tidak mampu melahirkan anak sebagaimana wanita normal lain. Untuk pengetahuan doktor, kini saya mengambil anak angkat dan saya berusaha menjaganya bagai anak sendiri.Suami pula sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta di luar, jadi saya bertambah khuatir suami akan menggunakan kesempatan terhadap kekurangan diri saya ini nanti...apa harus saya lakukan?

Puan M

Jawapan

Puan M,

Sudahkah Puan menjalani pemeriksaan dan ujian dengan doktor Pakar Sakit Puan (O and G specialist). Masaalah mandul bukan hanya berpunca dari sebelah wanita semata-mata. Hasil kajian menunjukkan hanya 30% berpunca dari masaalah wanita, 30% lagi dari masaalah suami manakala 30% lagi adalah masaalah berdua suami dan isteri dan 10% adalah atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Seringkali wanita yang disalahkan tanpa menjalani sebarang pemeriksaan dan ujian terlebih dahulu. Suami perlu datang bersama untuk pemeriksaan untuk memastikan air maninya subur.

Suami puan perlu diberitahu tentang fakta-fakta ini. Puan, cubalah cari maklumat dari internet /buku/majalah tentang masaalah kesuburan dan kemukakan bukti-buktinya.

Kalau komunikasi dengan suami baik, puan boleh ceritakan kepadanya sebuah kisah benar yang saya telah rawat dimana suami berkahwin lagi sebab sangkakan isteri nya mandul. Namun setelah bernikah isteri kedua pun tidak mengandung juga dan akhirnya terbukti bahwa si suami yang mandul.

Tentang tohmahan orang, ini memang masaalah yang dihadapi oleh ramai pasangan yang tidak ada anak. Puan seharusnya kena latihkan diri supaya tidak mudah terluka hati dengan tohmahan ini. Sediakan satu jawapan yang baik. Sebagai contoh puan boleh katakan puan dan suami belum bersedia untuk ada anak atau puan boleh ceritakan bahawa tidak semestinya ia masaalah wanita tetapi perkara yang sebenar adalah rahsia keluarga puan dan puan tidak mahu mendedahkan kedudukan sebenar. Ini memang benar sebab puan tidak boleh menyalahkan suami di depannya yang tidak mahu berjumpa pakar.


Sebuah langkah yang puan boleh lakukan sendiri ialah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan dan jalani pemeriksaan lengkap untuk memastikan kesihatan organ reproduksi puan. Jika hasil dari pemeriksaan ini puan disahkan baik, puan boleh kemukakan keputusannya kepada suami, mudah-mudahan dengan ini puan akan sekurangnya faham di mana kedudukan sebenar tahap kesuburan puan. Jika terbukti benar, memang masaalah ini berpunca dari pihak puan, ini pun boleh di jadikan sebagai titik tolak langkah selanjutnya. Sama ada puan mencari jalan untuk merawat masalah kesuburan atau mengambil anak angkat atau seterusnya.

Apapun masaalahnya, kerjasama dari suami amatlah perlu untuk menangani masaalah ini sehingga kesudahan. Walaupun kita inginkan yang terbaik, puan tidak boleh memaksa atau menjangka keputusan dan tindakkan suami, tapi sekurang-kurangnya puan perlu bersedia dengan keputusannya apabila kedudukkan kesuburan puan diketahui kelak.

Anggaplah ini sebagai satu dugaan hidup untuk menguji puan agar menjadi ebih tabah dan pasrah.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "Kami talah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIa
mengetahui orang-orang yang dusta." SURAH AL-ANKABUT AYAT 2-3

Mungkin doa puan selama ini dalam hal ini belum dimakbulkan oleh Allah. Namun ingatlah pesanan ALlah:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" SURAH AL-BAQARAH AYAT 216 .

dan " Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." SURAH AL-BAQARAH AYAT 286

Saya harap jawapan ini dapat membantu puan.

Jawapan di sediakan oleh Dr Suriyakhatun Osman, permasaalahn dan jawapan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com

No comments: