Thursday, February 22, 2007

PERBETULKAN SIKAP TANGANI KEGANASAN SEKSUAL TERHADAP WANITA


Wanita JIM merasa amat kesal dengan saranan penggunaan cawat besi bagi wanita mengelakkan kejadian rogol yang dikeluarkan oleh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini. Sekalipun saranan tersebut kemudiannya dikatakan hanya merupakan gurauan semata-mata, Wanita JIM memandang serius perkara tersebut . Yang nyata, peningkatan kes-kes jenayah dan keganasan seksual di negara ini bukan lagi gurauan dan sendaloka biasa. Statistik PDRM jelas menunjukkan peningkatan kes rogol sebanyak 28.5% dalam tempoh setahun (1895 kes pada tahun 2005 kepada 2435 kes pada tahun 2006). Jenayah rogol sudah berada pada tahap yg amat membimbangkan serta perlu ditangani segera dengan sikap yang betul oleh semua pihak, bukan lagi sekadar memberikan saranan `sinis’ atau `gurauan’ yang mengguris hati serta tidak dapat diterima akal.



Jenayah rogol mestilah dilihat sebagai satu bentuk perzinaan yang terkutuk dan amat tercela. Ianya bukan hanya merosakkan nasab keturunan manusia, malahan ianya melibatkan jiwa serta maruah mangsa yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak kecil serta orang tua yang tidak berupaya. Dalam syariat Islam, pesalah rogol semestinya dihukum rejam atau disebat di khalayak ramai. Sekalipun di negara ini pesalah rogol dikenakan hukuman berat, dipenjara berpuluh-puluh tahun lamanya, ianya ternyata belum mampu menimbulkan kegerunan dan menghalang penjenayah dari melakukan jenayah tersebut. Jelaslah bahawa aspek perundangan sahaja tidak mampu mengatasi peningkatan jenayah ini.



Sikap Wanita JIM mengenai isu jenayah seksual seperti rogol dan cabul sememangnya konsisten sepertimana dalam penegasannya selama ini. Keganasan seksual melambangkan kepincangan ketara dalam aspek penghayatan manusia terhadap tanggungjawab masing-masing dalam menjaga hubungan sihat antara lelaki dan wanita. Saranan agar wanita memakai cawat besi timbul dari tanggapan dan sikap yang meletakkan tanggungjawab menjaga moral masyarakat sepenuhnya dipikulkan di atas bahu wanita sahaja. Mengapakah jarang benar kedengaran saranan serta pandangan tegas terutamanya dari pihak cendekiawan agama yang meminta kaum lelaki khususnya, untuk kembali menghayati tanggungjawab mereka sebagai bapa, suami, abang dan pemimpin komuniti sebagaimana yang disarankan Allah dan Rasul-Nya? Selagi mana kaum lelaki tidak dididik, diperingat dan disedarkan setiap masa mengenai tanggungjawab besar mereka menjaga kesejahteraan umum, selagi itulah jenayah seksual tidak akan dapat dibenteras. Wanita JIM merayu agar peringatan dan tazkirah serupa ini disebarluaskan melalui semua saluran maklumat termasuklah semasa khutbah-khutbah Jumaat, media massa elektronik dan bercetak. Generasi lelaki muda mestilah juga dibimbing agar lebih bertanggungjawab supaya mampu menjalinkan komunikasi dan hubungan yang sihat dengan kaum wanita.



Dalam masa yang sama, Wanita JIM meminta kaum wanita agar mempertingkatkan kesedaran mengenai keperluan menjaga keselamatan peribadi di samping mengelakkan diri dari menjadi `mangsa mudah’ (easy prey) kepada para penjenayah seksual yang sentiasa menunggu peluang. Wanita mestilah juga bijak mengawal keadaan, memelihara kesantunan dan memastikan diri sentiasa diperlakukan secara terhormat oleh orang lain. Wanita Islam diseru agar kembali menghayati cara hidup serta penampilan diri yang selaras dengan panduan Al-Quran dan Sunnah, dan tidak terikut-ikut dengan cara berfikir masyarakat Barat yang menganggap emansipasi wanita diukur dengan sejauh mana keberaniannya mendedahkan auratnya di khalayak ramai, semata-mata untuk menjulang kebebasan hak asasi sebagai wanita yang bebas merdeka!



Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ( 012-3243134)

Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

No comments: