Friday, July 30, 2004

Anak dari keluarga berpoligami perlu pembelaan

Assalamualaikum wrt;

Di bawah ialah luahan perasaan seorang isteri yang bermadu dalam kehidupan poligami. Rasanya dalam rangka usaha JIM dan Wanita JIM mengorak langkah menyantuni isu-isu kekeluargaan, keibuan dan kebapaan, isu-isu yang ditangani harus juga meliputi isu kekeluargaan secara menyeluruh. Saya juga menerima beberapa emel pembaca bersangkutan pendidikan terhadap anak angkat dan anak yatim yang dipelihara. Ini termasuklah isu bapa yang mempunyai lebih dari satu rumah, isu anak angkat, anak tiri dan anak yatim. Bagaimanakah sepatutnya pendidikan bapa dan ibu terhadap anak tiri, anak yatim dan anak angkat pula? Apakah kekangan atau masalah yang mungkin timbul? Mungkin Wanita JIM boleh berkongsi hal anak angkat ini berikutan pengalaman RS yang terlibat dengan proses meng'angkat'kan anak yang berstatus luar nikah kepada keluarga yang prihatin dan penyayang. Sekadar berkongsi pandangan- Azlina

Puan Azlina,

Merujuk artikel yang tersiar di Wadah Wanita Islam Rabu, 21 Julai mengenai tanggungjawab seorang bapa, sangat2 berkesan di hati kakak. Kakak adalah isteri pertama dari dua orang isteri pada suami akak. Akak mempunyai tiga orang anak lelaki berumur satu tahun setengah hingga 7 tahun. Sejak hidup bermadu lebih kurang setahun lebih, akak dah mula rasa commitment suami akak pada anak2 mulai renggang. Akak redha dengan apa yang berlaku, cuma akak minta pada pihak2 yang bertanggungjawab agar memberikan satu landasan pada suami2 yang berpoligami agar lebih memberi perhatian pada anak2 mereka samada dari segi masa dan juga kewangan. Dari pengalaman akak dan persekitaran, ramai anak2 dari keluarga yang berpoligami tak mendapat pembelaan, salah satu contohnya, pihak sekolah tidak dapat memberikan bantuan kepada anak2 ini disebabkan mereka masih mempunyai bapa dan sebahagiannya adalah dari golongan yang berada tetapi mengabaikan anak2, tidak seperti anak2 yatim ataupun anak2 dari ibu tunggal ataupun dari golongan yang berpendapatan rendah yang boleh menerima bantuan dari pihak2 yang tertentu. Ramai berpendapat agar pihak isteri menyelesaikan masalah mereka dengan cara meminta dari pihak suami, ataupun meminta cerai jika pihak suami sudah tidak bertanggungjawab lagi. Pada saya itu adalah jalan yang penghabisan,kerana perceraian akan lebih mengeruhkan lagi keadaan. Saya berharap ada pihak ketiga dari pihak yang berkuasa agar memberikan satu sistem agar sebuah keluarga poligami hidup dalam keadaan yang lebih stabil. Inilah pendapat dan luahan hati akak.

Ibu pasrah

Puan Ibu Pasrah,

Terima kasih puan kerana menulis. Memang perkara yang sama kami rasakan apabila sebahagian besar remaja perempuan yang bermasalah yang kami kendalikan datangnya dari keluarga yang masih mempunyai bapa sebagai ketua rumah tetapi bapa yang tidak berfungsi atau kurang berfungsi di dalam tanggungjawab sosialnya terhadap anak-anak.

Cadangan puan sangat baik dan bernas. Insya Allah pihak kami sedang di dalam perancangan untuk membantu mereka yang memerlukan. Setakat ini kami banyak mendapat laluan memberikan ceramah yang mengkhusus kepada peranan para bapa.

Mudah-mudahan usaha ini mendapat sokongan padu dari masyarakat umum terutamanya. Pada masa yang sama puan boleh cuba berusaha perlahan-lahan menyedarkan tanggungjawab suami puan agar meluangkan lebih masa untuk anak-anak terutamanya yang sedang membesar dan di peringkat remaja. Mungkin salah satunya dengan membelikan buku-buku yang berkaitan dengan konsep dan peranan kebapaan. Mudah-mudahan puan diberkati Allah.- Azlina

No comments: