Bagaimana memberikan sokongan kepada ibu di ’poligami’
Saya bukan hendak mempertikaikan Poligami, siapalah saya untuk mempertikaikan hukum Allah swt. Tetapi bagaimana hendak mententeramkan perasaan ibu mertua yang dimadukan setelah 32 tahun usia perkahwinan dan hanya diberitahu setelah sebulan dimadukan? Lebih-lebih lagi si madu seusia anak ketiga! Barangkali topik sebegini perlu juga diketengahkan?!
"Zubaidah YUSOF"
Jawapan:
Agak sukar untuk memperkatakan ketentuan Allah Maha Bijaksana jika diri dilingkari emosi. Namun, dengan niat yang ikhlas untuk mencari keampunan serta keridhaan-nya insya Allah, penyelesaian pasti ada.
- Bayangkan sebelum berkahwin dulu, siapakah lelaki yang menjadi suami kita sekarang? Dia hanyalah seorang hamba Allah, sama seperti lelaki yang lain juga. Kenapa dia berkahwin dengan kita? Apakah kerana kita cintakan dia dan dia cintakan kita? Tidak! Berapa ramai orang bercinta, tapi tak dapat berkahwin dengan orang yang dicintainya. Ertinya yang menentukan perkahwinan kita adalah Allah. Itulah yang dikatakan jodoh. Jika Allah menjodohkan kita dengan suami kita, siapa pula yang menjodohkan suami kita dengan isterinya yang kedua, ketiga dan keempat? Pastinya Allah juga. Jika Allah mempertemukan kita, tidakkah Dia berkuasa memisahkan kita? Jika ditakdirkan suami berkahwin lain, ertinya Allah baru tarik suami dari kita beberapa hari saja dalam seminggu. Beberapa hari yang selebihnya dia tetap ada bersama kita, boleh berbicara, bergurau senda, berkongsi suka dan duka. Andainya Allah tarik dia keseluruhannya sekali gus? Bolehkah kita menghalangnya? Tiada lagi wajahnya untuk kita pandang, tiada lagi suaranya untuk kita dengar, tiada lagi jasadnya untuk kita pegang. Yang ada hanyalah pusara dan kenangan yang tidak mungkin berulang.
- Tempoh perkahwinan selama 32 tahun tidaklah lama jika dibandingkan dengan perkahwinan Sayyidina Ibrahim dan Sarah. Ketika Ibrahim mengahwini Hajar, umur Sarah sudah menjangkau 70an tahun. Diandaikan dia berkahwin ketika berusia 20 tahun, ertinya usia perkahwinan mereka sudah 50 tahun. Ibrahim berkahwin juga dengan wanita lain.
- Selepas sebulan baru dapat tahu. Ada orang lebih lama lagi. Seorang hamba Allah tu, setelah mendirikan rumahtangga hampir 30 tahun, suaminya berkahwin lain. Isteri sedikit pun tidak mengetahui sehingga isteri kedua mendapat anak. Ditakdirkan isteri kedua meninggal dunia, barulah suami membawa anaknya pulang ke rumah isteri pertama dan memberitahu hal yang sebenarnya.
- Itulah lingkaran hidup di dunia ini untuk menguji siapa yang paling baik amalannya. Diharap apa yang dipaparkan di atas boleh dijadikan panduan, insya Allah.
No comments:
Post a Comment