Friday, July 16, 2004

Zikir boleh menghapus dosa ?

Merujuk pada artikel keluaran WWI-BH: Amalan zikir, surah pendek pengisi masa paling berkesan Rabu, 14 Julai 2004 Oleh Prof Madya Maznah Daud. Saya ada beberapa pertanyaan mengenainya. Diharap PM Maznah dapat menguraikan kemusykilan saya ini.

1. Dalam petikan PM Maznah, PM ada menulis -"Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan.” "-
soalannya : adakah amalan zikir tersebut dapat menghapuskan dosa-dosa besar seperti berzina ?

2. "Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak. " Soalannya : apakah bacaan dan doa yg paling mudah/ringkas utk diamalkan bagi menunaikan solat sunnat ini ? adakah tiada solat rawatib sebelum Asar ?

3. Bagaimana utk menghindari daripada mengumpat sedangkan kita berada dipersekitaran sebegitu ? adakah cukup utk mendiamkan diri sebab jika kita mendiamkan diri, mereka akan memperkecilkan kita ? apakah tindakan yg sebaik-baiknya selain daripada mendiamkan diri dan mengelak golongan tersebut ?

Segala budi baik PM Maznah amatlah saya hargai. Semoga Allah memberkati segala usaha PM Maznah.

Jawapan:


Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Insya Allah saya akan cuba jawab soalan yang dikemukakan sebagaimana berikut:

1. Di dalam surah a-Nisaa' ayat 48 Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua pun, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya....". Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Katsir mengemukakan beberapa Hadis, antaranya diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Kezaliman (dosa) itu 3 jenis: dosa yang tidak diampunkan Allah, dosa yang diampunkan dan dosa yang tidak ditinggalkan sedikitpun (kecuali diberi balasan yang setimpal). Dosa yang diampunkan itu ialah syirik. Manakala yang diampunkan ialah kezaliman yang dilakukan keatas diri sendiri atau dosa di antara hamba dengan Tuhannya. Dan dosa yang tidak ditinggalkan ialah kezaliman manusia terhadap satu sama lain"
Hadis ke 2 diriwayatkan dari Mu'awiah, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Setiap dosa boleh jadi diampunkan Allah melainkan orang yang mati dalam kekafiran atau orang yang membunuh mukmin dengan sengaja."

2. Harus solat sunat rawatib sebelum 'Asar, cuma tidak termasuk dalam kategori sunat mu'akkad.

3. Cara terbaik untuk menghindarinya ialah nasihatkan kawan supaya berhenti, kalau tak boleh, tinggalkan tempat itu. Mungkin di peringkat permulaan mereka akan memperkecilkan. tetapi lama kelamaan mereka akan faham dan menghurmati tindakan saudari yang ikhlas mahu mengelakkan diri dari dosa. Mudah-mudahan cara itu berupaya menimbulkan keinsafan di hati mereka, insya Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Saya berkeyakinan tinggi Ustazah menukil hadis-hadis sahih untuk makalah berkenaan. Terus terang saya nyatakan saya tidak membaca makalah itu seperti yang terpapar di BH. Jadi, saya tak tahu sama ada rujukan sumber hadis diberikan (yakni Bukhari, Muslim dsbnya). Dgn hormat saya cadangkan supaya sumber ambilan dinyatakan supaya lebih berotoriti dan membantu masyarakat membudayakan kaedah rujukan yg berwibawa. Semoga Allah swt meningkatkan lagi sumbangan Ustazah.

---------------------
Baginda bersabda bermaksud: "Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan."

"Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak.
------------------------