Monday, September 13, 2004

Berdosakah selama ini membaca Al Quran tergagap?

Soalan:

Selama 21 tahun hidup di bumi ALLAH S.W.T tidak pernah sekalipun saya khatam Al-Qur'an, sebenarnya sudah lama hati ini ingin mendalaminya.Bukan saya tak cuba,saya dah cari banyak kelas mengaji tapi malangnya semuanya kelas mengaji yang saya tahu jauh-jauh belaka seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan di Pulau Pinang . Namun saya tidak pernah berputus asa. Walaupun kadang kadang rasa kecewa juga.

1)Berdosakah kalau saya membaca Al-Qur'an dgn tergagap-gagap?

2)Al-Qur'an yang dibeli di pasar malam patutkah diragui?

3)saya nak sangat tahu cara-cara sembahyang terawih dgn jelas.saya ada beli buku panduannya tapi tak berapa jelas.

4)berdosakah kalau kita baca Yasin utk disedekahkan kpd arwah tapi bacaan tak sempurna?

Saya berharap sangat tunjuk ajar dan pandangan dari pihak puan.Tolonglah bimbing saya.Terima kasih.

PU3 RIMBA

Jawapan:

  1. Tahniah dan syabas di atas niat serta kesungguhan saudara untuk mempelajari al-Quran. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya" Riwayat al-Bukhari.
  2. Saya kurang pasti, di mana tempat tinggal saudara. Setahu saya di mana tempat di bumi Malaysia ini, tidak sukar untuk mendapatkan guru mengajar al-Quran. Boleh dikatakan hampir semua masjid dan surau ada kelas mengajar al-Quran. Tidak kurang juga yang menawarkan khidmat mengajar di rumah.
  3. Mengenai baca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Orang-orang yang membaca al-Quran dengan mahir, dia akan berada bersama dengan malaikat-malaikat yang menyalinnya (al-Quran) dari Luh Mahfuz, yang mulia lagi diberkati. Dan orang-orang yang membacanya dengan susah payah, tergagap-gagap baginya dua pahala." Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Jadi, tidak berdosa asalkan kita terus berusaha memperbaiki kemahiran kita dalam membacanya. Begitulah juga bacaan Yaa Sin. Insya Allah dengan niat yang ikhlas Allah akan terima selama mana kita sedang berusaha belajar memperbetulkan bacaan.
  4. Solat tarawih, caranya sama sahaja dengan solat sunat lain. Bilangan rakaatnya boleh dibuat sama ada 8 (empat kali salam) atau 20 (10 kali salam). Tiada bacaan surah tertentu selain al-Fatihah yang wajib dibaca. Segala rukun dan syaratnya sama dengan solat fardu. Waktunya ialah selepas solat Isya'. Allahu A'lam.

Prof . Madya Maznah Daud

No comments: