Friday, September 17, 2004

Respons & persoalan mengenai Israk Mikraj

Semoga ALLAH merahmati Prof dan diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan kerja-kerja dakwah yang semakin mencabar. Sesungguhnya kita amat memerlukan orang-orang seperti Prof untuk menyedarkan umat Islam yang semakin menjauh dari agamanya khususnya di Malaysia sekarang ini.Saya amat tertarik dengan huraian Prof mengenai pengajaran-pengajaran yang diperolehi dari peristiwa Israk Mikraj yang disambut oleh umat Islam setiap tahun apabila menjelang 27 Rejab. Seruan Prof supaya umat Islam seluruh dunia memperteguhkan azam dan meningkatkan usaha ke arah pembebasan bumi Baitul Maqdis yang suci lagi diberkati di sekitarnya amatlah dialu-alukan.Walaubagaimanapun sandaran Prof dalam meriwayatkan asal berlakunya peristiwa Israk- Mikraj amatlah megelirukan saya yang masih cetek pengetahuan dalam agama ini.

Kemusykilan yang menjadi tanda-tanya saya ialah berkenaan bagaimana peristiwa Israk-Mikraj tersebut dikatakan bermula dari rumah Ummu Hani’ ? Persoalannya ialah :

1. Bukankah Ummu Hani’ masih belum memeluk ugama Islam ketika peristiwa Israk – Mikraj ini berlaku. Beliau hanya memeluk Islam pada tahun ke-8 Hijrah sedangkan Nabi SAW di Israkkan sebelum peristiwa Hijrah ke Madinah. Riwayat Nabi SAW di Israkkan dari rumah Ummu Hani’ hanya didapati dari riwayat Ibn Ishaq sahaja yang menyatakan RasuluLLah bersembahyang Isya’ sebelum tidur di rumah Ummu Hani’ dan mengejutkan Ummu Hani’ sebelum fajar untuk bersembahyang subuh bersamanya. Bagaimana mereka bersembahyang sedangkan sembahyang lima waktu baru difardhukan pada malam Mikraj ?

2. Bukankah Ummu Hani’ ketika berlakunya peristiwa Israk Mikraj mempunyai suami yang bernama Hubairah yang kafir dan menjadi musuh ketat kepada Islam? Semasa RasuluLLAH menguasai Mekah, Hubairah tetap kafir dan lari Ke Najran kemudian ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai seorang Kristian. Bagaimana Nabi SAW boleh tidur di rumah isteri musuh ALLAH ??? Kenapa RasuluLLAH meninggalkan 2 orang anaknya Fatimah dan Ummi Kultsum untuk sekadar tidur di rumah isteri seorang musuhnya?Dalam riwayat Ibn Ishaq dinukilkan “ Kami bersembahyang bersama Nabi …” Siapakah Kami yang dimaksudkan? Adakah Hubairah suaminya ? Tidak masuk akal Nabi SAW tidur dirumah Ummu Hani dalam keadaan suaminya (musuh Nabi SAW ) ada bersama.

Adakah Kami bermaksud ada selain dari Hubairah tidur di rumah Ummu Hani’ dan bersembahyang bersama RasuluLLAH ? Keadaan ini lagi menimbulkan keraguan. Bagaimana mungkin RasuluLLAH tidur di rumah isteri orang dalam keadaan suaminya tidak ada di rumah? Apatah lagi telah tersebut dalam sirah bahawa Ummu Hani’ pernah dilamar oleh Nabi SAW sebelum Baginda mengahwini Khatijah r.h tetapi telah ditolak oleh Abu Talib dengan alasan Nabi SAW seorang yang papa kedana. Tidakkah mungkin akan menimbulkan cemburu di hati Hubairah kalau-kalau Nabi SAW masih menaruh hati terhadap isterinya. Apa pula perasaan anak-anak RasuluLLAH melihat perbuatan ayahnya????.

3. Prof juga menulis tentang Ummu Hani yang cuba menghalang RasuluLLAH untuk ke Masjidil Haram dengan memegang baju Baginda. Saya beranggapan Prof meringkaskan riwayat asal dari Ibnu Ishaq. Dalam sirah ibnu Ishaq diceritakan Ummu Hani’ memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi SAW yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat. Hubungan apakah yang cuba digambarkan oleh Ibnu Ishaq diantara RasuluLLAH dengan Ummu Hani.

Saya rasa cukuplah beberapa perkara yang menjadi kemusykilan mengenai riwayat yang diambil oleh Prof sebagai asal kejadian peristiwa Israk Mikraj. Saya berpendapat riwayat-riwayat ini dimasukkan oleh musuh musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan peribadi RasuluLLAH yang mulia. Satu lagi persoalan saya ialah kenapa Prof tidak mengambil riwayat – riwayat yang di nukilkan dalam SAHIH BUKHARI, SAHIH MUSLIM dan kitab kitab hadith yang muktabar yang dengan terang menyebut riwayat Anas bin Malik dan Malik bin Sa’sa’ah bahawa Nabi SAW bersabda, ‘ Ketika saya berada di Baitullah….’

Akhir kata saya mengucapkan tahniah atas usaha Prof dalam memperkembangkan kefahaman Islam kepada masyarakat dan memohon kehadrat ALLAH agar segala usaha Prof diberkati ALLAH. Saya juga memohon maaf sekiranya tulisan ini menimbulkan sesuatu yang kurang meyenangkan Prof dan sesungguhnya saya masih memerlukan tunjuk ajar dari orang yang benar benar memahami agamanya.Disudahi dengan membaca Surah Al Asr & Tasbih Kaffarah.Wassalam.

MOHD NASSER B LONG, PEKERJAAN : GURU FIZIK, ALAMAT: SMK KADOK, KOTA BHARU, KELANTAN. UMUR : 40 TAHUN.

Jawapan,

Saya ucapkan berbanyak terima kasih, jazakumullahu khairan kathira di atas pandangan ikhlas yang membina, yang saudara berikan. Saya tidak mempunyai kepakaran dan tidak membuat kajian yang mendalam tentang sirah. Tulisan itu saya hasilkan berpandukan beberapa kitab, iaitu Tafsir Ibn Kathir, Fi Zilal Al-Quran, Al-Asas fi At-Tafsir dan AR-Rahiq Al-Makhtum.Saya naqalkan di sini apa yang ditulis oleh al-marhum Sayyid Qutub yang saya tidak muatkan dalam artikel itu.

“Terdapat perselisihan dari segi tempat Baginda di isra’kan. Ada yang mengatakan di Masjid Al-Haram itu sendiri – dan inilah yang zahirnya sebagaimana diriwayatkan Baginda bersabda maksudnya: “Ketika aku di Masjid Al-Haram, di dalam Hijir, antara tidur dan jaga, tiba-tiba Jibril datang kepadaku dengan buraq….” Ada juga yang mengatakan dia di isra’kan dari rumah Ummu Hani’ binti Abi Talib. Dan maksud Masjid Al-Haram itu ialah tanah haram kerana ia mengelilingi Masjid. Daripada Ibn ‘Abbas: “Al-Haram itu semuanya adalah masjid.”

“Yang rajih dari segala riwayat yang terkumpul ialah Rasulullah s.a.w. meninggakan tempat tidurnya di rumah Ummu Hani’ dan pergi ke masjid. Ketika baginda berada di dalam Hijir di sisi Baitillah, antara tidur dan jaga, dia di-isra’ dan dimi’rajkan. Kemudian kembali ke tempat tidurnya sebelum ianya sejuk.” Fi Zilal, jilid4, m.s.2210, Dar Al-Syuruq, Beirut 1396/1976.

Seandainya apa yang dikemukakan ini bercanggah dengan fakta yang sebenarnya, harap dapat diperbetulkan. Jika saudara telah membuat kajian yang begitu mendalam, saudaralah orang yang selayaknya tampil mengemukakan bukti dan kajian yang sahih mengenainya. Saya harap Allah mengampunkan saya jika saya silap. Dan saya mohon agar dipelihara dari menyakiti, apa lagi menghina Rasul tercinta sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Sekian. Wassalamu’alakum wr.wb.

Al-Faqirah ila-Allah,

PROF. MADYA MAZNAH DAUD

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikumwarahmatullaah.

'Aqiidah Ibnu Ishaq yang merupakan penulis kitab 'SIRAH IBNU ISHAAQ' di
perselisihkan ulamak. Disini dinukilkan pendapat ulamak tentang Ibnu Ishaq.

Imam Abu Daud berkata: Dia seorang yang berfahaman Qadariyyah dan Muktazilah.

Imam Sulaiman At-Taimi berkata: Dia seorang pendusta besar.

Imam Wuhaib berkata, saya bertanya Imam Malik tentang Ibnu Ishaq, dia
menganggapnya seorang yang tidak bagus.Malah Imam Malik menganggap dia adalah
seorang dajjal.

Imam Ibnu Nadim dalam kitab Al-Fihrist mengatakan, "Dia (ibnu ishaq) seorang
yang tercela dan tidak disenangi fahamannya. Dia selalu mengambil riwayat dari
orang-orang Yahudi dan Nasrani. Didalam buku-bukunya dia menganggap orang-orang
Yahudi dan Nasrani sebagai 'ahli ilmu terdahulu'.

Imam Yazid bin Zurai' berkata " Muhammad bin Ishaq adalah seorang Muktazilah.

Imam Makki bin Ibrahim menganggap Ibnu Ishaq adalah seorang Mujassimah.

Imam Khatib Al-Baghdadi berkata: "Bukan seorang dua ulamak yang tidak mahu
berhujjah dengan riwayat-riwayat Ibnu Ishaq kerana beberapa sebab, dia
berfahaman Syiah, dia berfahaman Qadariah dan dia melakukan tadlis dalam
riwayat hadith-hadithnya.

Imam Ibrahim bin Ya'aquub Al-Jauzani berkata: "Muhammad bin Ishaq mempunyai
ramai orang yang minatkan hadith-hadithnya padahal dia dituduh dengan
bermacam-macam bid'ah (seorang ahli bid'ah).

Abbas Al-Qumiyy (seorang Syiah) mengakui Ibnu Ishaq sebagai seorang Syiah. -
Al-Kuna Wa Al-Alqab, jilid 1 m/s 211.

Kesimpulan:

Ibnu Ishaq seorang yang diperselisihkan dalam masalah aqidahnya (SYIAH,
QADARIYYAH, MUJASSIMAH ATAU MUKTAZILAH) dan dia bukan seorang Ahlus Sunnah.