Friday, August 26, 2005

Batas pergaulan bukan hanya fizikal, malah mental serta spiritual

Batas pergaulan bukan hanya fizikal, malah mental serta spiritual


Soalan; SAYA selalu mendengar ceramah motivasi Islam yang melarang remaja bergaul bebas, terutama apabila kumpulan remaja menyambut sesuatu pesta. Namun saya kurang arif maksud batas pergaulan yang menurut syariat. Adakah maksudnya kita mesti menjauhkan diri daripada insan berlainan jenis sepanjang masa? Ini tidak mungkin berlaku kerana kehidupan sekarang yang bermobiliti sangat tinggi sehingga ke alam siber.
REAMJA MODEN,
Johor Bahru, Johor.


CIRI insan cemerlang berlandaskan agama mengambil kira isu pergaulan antara lelaki dan perempuan yang perlu difahami secara menyeluruh. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang harus berkahwin (iaitu yang bukan mahram) perlu dijaga agar tidak terbabas daripada tuntutan syariat serta akhlak. Batas pergaulan ini bukan hanya membabitkan fizikal, malah mental dan spiritual.

Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Israk, ayat 32)

Al-Quran menyebut ‘jangan mendekati zina’ sebagai langkah langkah kewaspadaan menjaga pergaulan berlainan jantina agar tidak terlanjur kepada perzinaan yang secara popularnya disebut sebagai pergaulan seks bebas.

Antara langkah menjauhi perzinaan atau seks bebas:

1. Menjauhi zina minda

Contohnya, jika seseorang lelaki duduk berjauhan daripada seorang wanita, tetapi mindanya membayangkan sedang melakukan perbuatan lucah dengan wanita itu, dia ketika itu melakukan dosa walaupun secara zahirnya berjauhan daripada wanita itu. Dia sebenarnya sedang melakukan ‘zina minda.’ Kes begini banyak terjadi di alam siber, melalui internet chatting, bertukar gambar di e-mel dan internet TV. Perlakuan ini perlu dijauhi, jika telah terlanjur melakukannya banyakkan beristighfar.

2. Menjauhi zina mata

Demikianlah juga dengan pandangan mata. Jika seseorang lelaki melihat seorang wanita dari jauh dengan pandangan syahwat, dia juga berdosa walaupun ketika itu wanita itu duduk berjauhan daripadanya. Ketika itu dia melakukan ‘zina mata.’ Sahabat Rasulullah SAW, Jarir bin Abdullah, pernah berkata: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai melihat wanita dengan tidak disengaja, maka sabdanya: "Palingkanlah pandanganmu." (Hadis riwayat Muslim)

Nabi juga bersabda kepada Saidina Ali: "Ya Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan (kepada wanita) dengan satu pandangan yang lain kerana yang pertama itu tidak menjadi kesalahan (kerana tidak sengaja), tetapi tidak yang kedua." (Hadis riwayat Abu Daud).

Demikian juga melihat gambar wanita dan lelaki yang tidak menutup aurat, separuh bogel di depan mata, televisyen, paparan komputer dan juga papan iklan tepi jalan. Banyakkan beristighfar, minta ampun daripada Allah. Namun, pandangan pertama kali adalah dimaafkan seperti maksud hadis di atas

3. Menjauhi daripada berdua-duaan

Ketika berdua-duaan, rangsangan untuk bermaksiat akan lebih kuat kerana godaan syaitan. Justeru, ia dilarang oleh agama.

Berhubung perkara ini, Nabi bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah dia bersendirian dengan seorang wanita di suatu tempat tanpa disertai mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan." (Hadis riwayat Ahmad).

Amalkan membawa kawan atau teman jika ingin berbincang dengan dengan insan berlainan jenis mengenai perkara bermanfaat

4. Menjauhi daripada bersentuhan

Jika melihat seseorang wanita dengan syahwat dilarang oleh agama, bersentuhan kulit dengannya pasti lebih ditegah lagi. Dalam sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim diriwayatkan: "Tidak pernah tangan Rasulullah menyentuh tangan wanita yang tidak halal baginya."

Dalam riwayat yang lain Nabi bersabda, "Ditikam salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi pada kepalanya adalah lebih baik baginya daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya." (Hadis riwayat Thabrani)

Bagaimanapun, pergaulan antara lelaki dan wanita bukanlah dilarang secara 100 peratus. Apa yang dilarang ialah pergaulan bebas. Namun dalam suasana tertentu yang terkawal ia diizinkan, contoh, ketika menuntut ilmu dan berjual beli.

DIJAWAB Dr Danial Zainal Abidin, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy, persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

5 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr,

Saya tertarik dengan penjelasan yang diberi atas persoalan yang ditimbulkan oleh sahabat kita ini. Namun, saya masih keliru dengan batas pergaulan yang dibenarkan oleh Islam. Untuk pengetahuan Dr, sebagai seorang gadis yang membesar ditengah2 Kuala Lumpur ini, alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya telah dididik dengan sebaik mungkin oleh kedua ibu bapa saya. Di atas ketegasan kedua ibu bapa saya yang sgt2 menekankan batas2 pergaulan antara lelaki & perempuan, hasilnya sejak dari bangku sekolah saya langsung tidak bertegur-sapa dengan rakan2 lelaki di sekolah, malah perlakuan saya itu telah terbawa2 sehingga saya ke universiti. Akibatnya, saya tidak pernah mempunyai kawan dari kalangan kaum lelaki. Dr,hakikatnya semasa saya sedang dalam proses menuntut ilmu, saya amat pasti pendirian saya itu betul demi menjaga maruah diri, amanah ibu bapa dan kesucian ilmu yang saya tuntut kerana terbukti dengan pencapaian akademik yang cemerlang di sekolah dan universiti ditambah dengan pelbagai anugerah yang saya terima dan bersyukur kini saya menjawat jawatan jurutera di sebuah syarikat pengeluar petroleum.Namun, akibat dari pendirian saya tersebut, saya kini masih bersendirian, tanpa teman lelaki ataupun calon suami. Secara jujur saya mengaku, di usia saya yang telah menjangkau 25 thn ini, saya ada rasa kecewa dan menyesal tapi saya tetap cuba pujuk diri sendiri bahawa apa yang saya lakukan dulu adalah benar kerana bimbang terjebak dengan dosa dan maksiat. Malah sehingga kini walaupun sgt berkeinginan untuk mendirikan rumahtangga, saya sangat bimbang untuk berkenalan dengan lelaki kerana satu sebab: saya takut saya melakukan zina tanpa sengaja. Saya harap Dr dapat membantu saya.

muslimah sunyi
Damansara

Anonymous said...

assalamua'laikum

saya tertarik untuk berkongsi pandangan dengan saudari muslimah sunyi.sewajarnya saudari memikirkan secara positif hal ini. bukankah kita dijanjikan dengan sebaik2 pasangan jika kita juga baik? maka, kekalkanlah pendirian saudari, pasti ketemu juga jodoh yang baik untuk saudari~
wallahualam.

Anonymous said...

>>Assalamualaikum wbt...
>>Terima kasih kpd doktor di atas maklumat yang alhamdulillah sedikit-sebanyak telah membantu menambahkan maklumat dan pengetahuan saya..Sekaligus,menjelaskan kekeliruan yang tlah lama bersarang di hati saya..
>>Buat saudari muslimah sunyi,saya cadangkan saudari memperbanyakkan solat2 sunat sperti solat sunat istikharah....
>>al-muslimiin lil muslihat...
wslm....
-hayati-

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr,
terima kasih kerana memberi informasi yang baik. saya sebenarnya merasakan diri saya telah banyak melakukan dosa, terutama sekali dengan melakukan zina. dalam usia yang masih muda ini, saya telah melakukannya. saya amat menyesal,namun saya tidak dapat mengawalnya. nafsu saya amat kuat untuk melakukan zina. apa harus saya lakukan Dr?

Anonymous said...

Assalamualaikum dr..
sy nak tanya apakah hukumnya apabila seorang lelaki dan seorang perempuan ber 'sms' dan membincangkan perkara yang berkaitan dengan alam perkahwinan?
walaupun pada hakikatnya saya tau pekara itu tidak sewajarnya saya bincangkan.