Kerjaya tidak jadi penghalang Dr Harlina lakukan kerja amal
Mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki.
Perkara itu juga ingin dilaksanakan Wanita Jamaah Islah Malaysia (Jim) apabila mahukan lebih ramai profesional wanita Islam terbabit dalam gerakan berpersatuan dengan lebih bermakna.
Dengan visi ‘Menjadi Pemimpin Wanita Yang Fundamental, Kontemporari dan Profesional Berasaskan Islam’, Wanita Jim, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak agresif menyediakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada umat Islam.
Ketuanya, Dr Harlina Halizah Siraj, 39, yang juga pensyarah kanan dan pakar perunding perbidanan dan sakit puan menganggap ramai wanita suka berorganisasi atau terbabit dalam kegiatan berkumpulan tidak kira apa juga kegiatannya.
Beliau berpendapat, pembabitan wanita dalam berpersatuan adalah baik kerana melalui kegiatan itu mereka dapat memberi sumbangan dari segi buah fikiran, pengalaman dan tenaga untuk membangunkan kelompok komuniti yang diceburi.
Bagaimanapun, amalan menyertai pertubuhan, persatuan atau organisasi tertentu itu perlu mempunyai matlamat jelas dan lebih bersifat profesional supaya ia dipandang tinggi.
Katanya, ramai wanita di negara ini cenderung dan gemar untuk mengadakan kegiatan perkumpulan dari sekecil-kecilan seperti parti ‘Tupperware’.
Tindakan itu cukup baik sebagai titik permulaan ke arah memupuk semangat berpersatuan dan perkumpulan golongan wanita.
Bagaimanapun, bagi menjadikan pertubuhan itu lebih bersifat profesional dan mempunyai hala tuju, ia harus diisi dengan program yang lebih membangun dalam pelbagai aspek merangkumi kumpulan sasar. Hal itu penting dalam usaha meningkatkan pembangunan rohani dan jasmani.
Organisasi seperti Jim adalah landasan sesuai untuk memberi penekanan kepada pelbagai isu khususnya dari aspek sosial dan kebajikan.
Serentak itu, Dr Harlina berkata, Jim adalah sayap wanita dalam membina imej dan membentuk wanita Islam agar mempunyai identiti fundamental di sudut pegangan, kontemporari dalam pendekatan dan keupayaan memimpin yang tinggi serta profesional.
Ketika ini, Jim yang ditubuhkan pada 1993 mempunyai kira-kira 8,000 ahli dengan 50 peratus atau 4,000 orang adalah wanita Islam yang majoritinya kalangan profesional dan ahli akademik.
Ia menjadi platform bagi pembuka ruang kepada semua wanita untuk bertemu, berkomunikasi, bermuafakat serta mencapai persefahaman mengenai pelbagai isu dengan memberi tumpuan secara menyeluruh terhadap peningkatan serta pembangunan golongan wanita tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan sosiopolitik atau ekonomi dalam kehidupan.
Diharapkan dengan menganggotai Jim, wanita Islam dapat meningkatkan diri menjadi wanita salihah , gemilang, unggul dan penuh keyakinan diri serta dilengkapi dengan sistem pembangunan insan serta latihan yang mantap.
Wanita Jim memperjuangkan pembangunan insan seimbang dan berpandukan pedoman al-Quran dan sunnah. Antara tumpuan kegiatannya adalah memperkasakan wanita dalam memimpin diri, keluarga dan masyarakat, penggemblengan kerjasama dan kesukarelawanan antara gender. Begitu juga usaha dakwah amar makruf nahi mungkar dan mencorak pandangan umum terhadap isu masyarakat.
Dr Harlina berpendapat, kesibukan harian sebagai pakar perbidanan dan sakit puan bukan alasan baginya untuk terus aktif berpersatuan. Hal ini kerana ia adalah keinginan yang menebal dalam diri untuk menyumbangkan masa dan tenaga demi kepentingan dan kesejahteraan ke arah kesinambungan umat Islam pada masa kini dan depan.
Baginya, tanggungjawabnya dalam kerjaya dan sebagai ketua persatuan, isteri dan sekali gus ibu kepada tiga anak tidak terabai kerana sudah tertanam dalam dirinya yang beriltizam tinggi dan berazam untuk melaksanakan semuanya.
“Saya berpendapat, sekiranya ada kemahuan pasti ada jalan. Bagi saya dalam hidup kita melalui tiga fasa iaitu kelangsungan, stabil dan kejayaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment