Friday, December 30, 2005

6 panduan laksana azam tahun baru

Bicara Kalbu: 6 panduan laksana azam tahun baru

?Perlukan nasihat mengenai resolusi setiap awal tahun? Walaupun setiap tahun kita sering membuat resolusi demi resolusi, namun banyak yang kita mungkiri. Apakah guna berjanji dengan diri sendiri jika tidak ditepati?

Gadis Perlu Bimbingan,
Sungai Besi Selangor

ISLAM menggalakkan umatnya muhasabah atau menghisab diri bagi merenung kelemahan atau kesalahan dalam usaha memperbaiki akhlak serta prestasi untuk kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Manusia mempunyai sifat selalu lupa, sebab itulah kita di berikan peringatan dan harus memperingati.

Jika orang lain tidak mengingatkan diri kita, kita wajib mengingatkan diri untuk kemajuan, ketenangan hati dan kebahagiaan hidup kita sendiri.

Muhasabah mempunyai banyak peringkat iaitu muhasabah harian, mingguan, bulanan dan tahunan.

Membuat resolusi ibarat kita berjanji kepada diri sendiri dan jika itu tidak ditepati, kita perlu semak mengapa janji itu tidak dapat ditepati melalui bedah siasat minda yang ditulis di atas kertas.

Kita jadikan resolusi ini sebagai tempat kita menilai prestasi diri termasuk akhlak, amalan, ibadat, sumbangan kepada insan lain dan kerjaya selama setahun, adakah lebih baik atau sebaliknya.

Adakah kita membahagiakan insan lain atau menyebabkan mereka menderita? Kita boleh mengotakan janji kepada diri jika kita menyediakan mekanism dan tips untuk memenuhi janji itu.

Enam tips untuk menulis resolusi tahun baru:

# Senaraikan resolusi Tahun 2006

Sebagai permulaan, kita senaraikan semua resolusi yang kita buat, kemudian kita pilih mana-mana perkara yang lebih utama sebagai A1, A2, A3 dan kita tetapkan tarikh untuk memulakan resolusi itu dalam jangka masa katakan, 40 hari.

Kemudian tentukan ulangan yang akan kita lakukan, sekali atau dua kali dalam masa sebulan atau dua bulan. Buat sedikit demi sedikit mengikut kemampuan badan dan mental, kemudian tambahkan ikut kemampuan.

Apa yang penting, resolusi mestilah dilakukan secara ’istiqamah’ dan tekun.

Contohnya amalan yang boleh disenaraikan dalam amalan persendirian ialah memperbanyakkan amalan solat sunat, puasa sunat, membaca al-Quran, baca buku terbaru, meringankan beban ibu tunggal, anak yatim dan lain-lain.

# Cari resolusi yang memang ‘mampu’ kita lakukan.

Contohnya, datang ke pejabat jam 8.30 tepat kerana pada akhir tahun 2005 kita tidak dapat bonus berlipat ganda disebabkan selalu datang lewat.

Atau dalam masalah hati, kita tidak mahu bersifat prejudis kepada insan lain, hendak mencintai semua orang dan membahagiakan orang lain.

# Cari resolusi yang sudah kita lakukan atau yang memang kebiasaan kita

Contohnya, solat lima waktu kita memang lakukan tetapi adakah sempurna solat kita, adakah waktunya tepat? Azam kita ialah untuk mencantikkan amal yang dilakukan setiap hari.

# Pilih resolusi yang mudah.

Contohnya, bersedekah RM1 setiap Jumaat, atau paling mudah tersenyum dalam apa cara sekalipun kerana senyum adalah sedekah. Tahukah kita bahawa senyuman kita yang pertama di waktu pagi bagi seorang sedang murung boleh membahagiakannya sehari suntuk.

# Pilih resolusi yang tidak boleh diukur, tanpa unit dimensi dan abstrak

Contohnya, saya akan jadi orang yang lebih baik. Ini tidak boleh diukur kerana lebih baik boleh membawa pelbagai maksud iaitu, baik saja, lebih baik dan lebih baik lagi.

# Tuliskan resolusi di tempat mudah dilihat

Tampal resolusi di tempat mudah dilihat umpamanya dengan melekatkan di dinding, peti sejuk, cermin di bilik tidur, di telefon atau buku bacaan terkini. Jika kerja kita menggunakan komputer, buatkan ’pop up icon’ yang akan terpampang setiap kali kita menggunakan komputer.

Enam tips di atas untuk menulis resolusi tahun baru dan mudah-mudahan kita akan dapat menulis resolusi tahun baru yang canggih dan dapat dipenuhi di akhir tahun akan datang.

# Dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir. Persoalan dan jawapan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

Berapa banyaklah punya panduan sekalipun kalau satu perkara yang penting sebagai manusia yang kita ada dan amalkan setiap hari tidak kitan sedar maka adalah sis sia belaka. Satu tip saja saya tekan disini kepada semua orang melayu bak kata Perdana Menteri kita dulu YB Tun Mahathir Mohamad "Orang Melayu Marah Kalau di Tegur Kesalahannya, kerana mereka tidak mahu atau sengaja tidak mahu menoleh kebelakang, maka dengan sendirinya mereka susah akan berubah walau banyak mana sekali panduan yang sedia ada." Perlu Berubah 100% "SIKAP" dalam bahasa English "ATITTUDE". No 70%, 50%, atau 20% mesti 100% berubah maka baru ada jaminan boleh menjadi orang berjaya.