Thursday, January 26, 2006

Bermain telefon dan cinta monyet

Bermain telefon dan cinta monyet

Saya ada seorang anak perempuan yang meningkat dewasa. Sekarang ini umurnya 15 tahun dan tahun ini anak saya ini akan menduduki peperiksaan PMR. Apa yang membimbangkan saya ialah; anak saya sering menelefon rakan sekolahnya yang berlainan sekolah (rakan lama semasa sekolah rendah) dan begitulah sebaliknya. Mereka berdua ni dah nampak menjalinkan cinta monyet(cinta budak-budak) Pada waktu malam pun mereka juga sering berhubung melalui telefon. Jadi bagaimanakah caranya untuk saya menghindarkan perkara ini dari berterusan berlaku.

Jawapan dari pihak JIM amatlah saya harapkan.

Puan Zed:
Mon, January 23, 2006 12:19 pm

Jawapan:


Anak-anak pada hari ini sebenarnya cepat 'dewasa'.Mereka didewasakan oleh persekitaran dan suasana,pergaulan dan apa yang dihidangkan kepada mereka dalambentuk bahan bacaan dan tontonan. Lihat sahajalah lambakan buku-buku dan tayangan filem bertemakan cinta remaja. Oleh itu tidak mustahil anak-anak ini mulai memasuki alam yang sepatutnya diteroka oleh orang yang benar-benar telah dewasa. Mereka telah dewasa dari sudut biologi tetapi masih terlalu mentah dan masihanak-anak dari sudut emosi dan mengendalikan perasaan mereka.


Tidak salah kalau puan membuat kesimpulan bahawa anak puan sudah dilamun cinta. Apapun istilah yang dipakai'cinta monyet' atau ’puppy love', anak puan dan 'teman lelaki'nya mungkin telah menaruh perasaan di antara satu sama lain. Adakah perkara ini satu kesalahan?
Merasa cenderung dan jatuh hati adalah naluri insan dan samasekali ianya tidak dinafikan oleh akal yang sihat. Yang menjadi masalah ialah masa atau 'timing'dan cara kita mengendalikan perasaan itu. Nah sebagai
umat Islam sudah semestinya kita mempunyai tempat kembali untuk segala persoalan hidup termasuklah dalam soal hubungan intim lelaki perempuan.


Puan kena ajak anak puan berbincang dari hati ke hati tentang perkara ini. Jelaskan kepadanya hukum serta sudut pandangan Islam tentang hubungan lelaki perempuan. Yakinlah bahawa Islam tidak menghalang samasekali hubungan di antara lelaki dan wanita, tetapi Islam mempunyai adab-adab dan peraturan yang wajib diperhatikan. Sebab apa? Sebab inilah pintu yang paling ampuh untuk syaitan memasukkan jarumnya dan
memperdaya manusia. Lantaran itu Nabi kita dalam banyak hadis dan riwayat mengingatkan umat Islam supaya benar-benar menjaga adab pergaulan berlawanan jantina. Antaranya elakkan dari berdua-duaan kerana yang ketiganya ialah syaitan. Dan Al-Quran juga menggariskan supaya lelaki dan perempuan menundukkan pandangan, serta menjaga aurat untuk menutup semua pintu-pintu yang bolih menjerumuskan seseorang kepada perbuatan zina. 'Jauhilah zina' kita diperingatkan oleh Quran 'Kerana ia amat KEJI dan SEBURUK_BURUK jalan'.


Katakan padanya Islam memberi ruang kepada lelaki dan perempuan untuk 'menjalin hubungan'. Buktinya ada ikatan pertunangan dan pernikahan dalam Islam.Menjalin hubungan' di sini tidak bermakna Islam
memberi lesen kepada pasangan yang sedang bertunang berdua-duaan dan bergaul bebas; hubungan ini tetap perlu dijalinkan dalam kerangka hadis-hadis dan ayat-ayat Al-Quran yang dinyatakan di atas dan yang
lain). Nah tanyakan kepada anak puan apakah telah sampai masanya untuk beliau membuat komitmen tersebut (iaitu bertunang untuk melangsungkan perkahwinan).

Sudah pasti pada usia semuda itu anak puan akan mengatakan belum tiba waktunya. Sebab apa? Sebab sekarang urusan yang paling utama didahulukan ialah pelajarannya dan bersedia untuk menghadapi serangkaian peperiksaan yang bakal datang, PMR, SPM dan seterusnya
memasuki IPT. Tidakkah lebih baik jika masa dan tumpuan difokuskan kepada persediaan menimba ilmu dan membentuk syaksiah diri dari melayan perasaan.

Jika anak puan memahami penjelasan ini langkah seterusnya ialah ia harus mengambil satu pendirian iaitu menghentikan hubungannya dengan teman lelakinya. Minta dia berterus terang sahaja kepada temannya
supaya hubungan mereka setakat itu sahaja kerana tidak ada apa-apa yang bolih mewajarkan mereka meneruskan hubungan. Percayalah langkah yang diambil oleh anak puan akan memberikan ia pulangan dalam bentuk
ketenangan hati dan prestasi akademik yang meningkat.


Akhirnya titipkan pesanan ini kepada anak puan. "Kalau jodoh tidak ke mana". dan pesan dari Al-Quran 'Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik'. Bisikkan ke telinganya 'Marilah anak ku kita bina syakhsiah
diri, kelak engkau akan besar sebagai seorang muslimah sejati dan hargamu adalah seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW 'Sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah'.

Semuga berjaya memberi santunan kepada anak puan. Amin Ya Rabbal Alamin.

Dijawab oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Universiti Putera Malaysia.