Thursday, January 26, 2006

Ingin dekat kepada Ilahi.

Ingin dekat kepada Ilahi.

Saya adalah wanita muslimah berusia 23 tahun. Saya ingin sekali memohon pandangan dan pendapat dari pihak puan mengenai diri saya yang saya sendiri hairan akan perubahannya

Sudah lama saya menanggung kesepian ini seorang diri, saya rasa sepi, jauh dari Tuhan. Tapi saya tak pasti kenapa Dia menarik kembali pemberian agung yg diberikan kepada saya suatu ketika dahulu.

Dahulu, saya mudah tersentuh hati dan sentiasa mengingatinya, semasa saya dibangku sekolah dan di IPT. Namu setelah setahun bekerja, saya dapat rasakan perubahan yg ketara. Saya ingin sekali kembali kepada Ilahi dan jadi lebih baik dari dahulu. Cuma saya tidak punyai pembimbing, tambahan pula saya bekerja sehingga 12 mlm. Tentunya rasa letih, mengantuk melebhi rasa ingin beribadat kepada Tuhan

Saya sedih melihat diri saya yg semakin jauh ini. Harap pihak puan dapat memberi kata dua.

From: ana XXX@XX

Mon, 16 Jan 2006 06:32:35 -0800 (PST)

Jawapan:

Assalamu'alaikum

Hakikat kejadian hati memang akan sentiasa berbolak balik, dan iman yang tempatnya dihati juga akan sentiasa ada pasang surutnya. Ini lumrah kehidupan, ada masa dan ketikanya kita akan merasa hilang motivasi, hilang minat untuk beribadat.

Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah tidak memungkinkan Allah menarik balik nikmat ini. Jauh atau lupa kita kepada Allah adalah kerana kelemahan kita sendiri. Tidakkah kerana kasih dan sayang Allah, maka Dia mengilhamkan kepada saudari yang saudari semakin jauh dariNya?

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah berkata: Aku bagi hamba-hambaKu adalah sebagaimana mereka mengharap padaKu , Aku bersamanya bilamana dia mengingatiKu. Andainya dia mengingatiKu didalam hati, Aku mengingatinya bersamaKu, dan sekiranya dia mengingatiKu didalam majlis/perhimpunan, Aku akan menyebutnya didalam majlis/perhimpunan yang lebih baik. Dan sekiranya dia datang kepadaKu berjalan, Aku datang kepadanya dengan lebih pantas."

Hassan al-Basri berkata, iman bukan suatu yang boleh dikecap dengan hanya berharap. Kesungguhan beramal adalah buah dan baja keimanan. Kesungguhan beramal juga menuntut kesabaran.

Dan Ibnu Qayyim al-Jauzi mengkategorikan sabar kepada tiga perkara – sabar dalam taat, sabar dalam menjauhi larangan, dan sabar bila diuji dengan musibah/kesusahan.

Berikut adalah cadangan langkah-langkah praktikal yang saudari boleh usahakan:
• Jangan sekali-kali biarkan perasaan mengawal diri (refuse to let your emotions rule your judgement). Ketika rasa malas menyelinap, padamkan terus. Baca al-Quran, umpamanya, biarpun sekadar 5 minit. Amal yang paling Allah sukai, ialah amalan yang berterusan, walaupun sedikit.
• Amalkan du'a – Allahumma, aku berlindung padaMua dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari rasa malas, dan aku berlindung padaMu dari sika pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang (rujuk himpunan zikir al-ma'thurat). Juga du'a seperti, "Ya Allah, Yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami atas jalanMu, tetapkanlah hati-hati kami pada ketaatan kepada Mu."
• Bijak memilih kawan. Pastikan saudari kelilingi diri dengan kawan-kawan yang menggalakkan kita berbuat baik.
• Yang paling baik sekali, sertailah kumpulan-kumpulan pengajian, atau halaqah atau usrah. Hubungi pihak Wanita JIM sekiranya perlu.
Wallahu'alam.

Amir A. Razelan

No comments: