Oleh Dr Hafizah Mustaqim
(TImbalan Ketua Wanita JIM Pusat)
Pada hari Isnin 3/9 yang lepas ana kehilangan seorang anggota keluarga; abang ipar ana , suami kepada kak Intan (nama sebenar Muzaiyanah) ana yang amat kami kasihi. Lebih kurang jam 12.30 tengahari abang Alladad Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah diuji Allah dengan penyakit Kanser Usus selama 2 tahun. Ana pohon jasabaik semua untuk menghadiahkan Al Fatihah untuk abang ipar ana ni. Semoga rohnya diterima Allah sebagai hambaNya yang Soleh. Al Fatihahâ¦..
Abang yang banyak berjasa kepada kami
Ana ada sepuluh adik beradik, semua ana sayang; Keluarga K Intan dan abang Alladad ni istimewanya kerana banyak membantu kami sewaktu kami baru balik dari Australia dulu. Selama 3 bulan setelah balik dari Melbourne kami 5 beranak menumpang di rumah teres 3 bilik kepunyaan keluarga ini di Selayang. Masa tu Che Rahimi bekerja di Pejabat Presiden JIM 1, Abu Urwah dan ana baru memulakan kerjaya sebagai houseman di Hosp Kuala Lumpur . Kesabaran mereka melayan kerenah anak-anak ana yang masih kecil sewaktu itu amat kami hargai.
Dikesan menghidap Kanser Usus
2 tahun lepas abang Alladad mula menunjukkan tanda buang air berdarah dan sakit perut/pinggang. Allahyarham ni bekas askar dan sememangnya terkenal dengan tahan menahan kesakitan . Jadi bila dia kata dia sakit, memang ianya sakit yang tak tertahan. Pertama kali kesnya dirujuk ke hospital doktor yang merawat mengatakan ianya buasir dan memberikan rawatan susulan 3 bulan. Tidak puashati dengan diagnosis sedemikian kami merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur . Setelah diperiksa secara teliti ternyata Allahyarham menghidap bukan sahaja kanser usus tetapi juga batu karang yang menjejaskan fungsi buah pinggang. Setelah menjalani beberapa rawatan utk batu karang akhirnya pembedahan kansernya dapat dilakukan, namun colostomy (pembukaan usus dibuat di perut) terpaksa dilakukan untuk mengelakkan usus tersumbat dimasa akan datang . Rawatan kemoterapi nya terpaksa ditangguhkan untuk membolehkannya menjadi tetamu Allah menunaikan Haji . Dalam keadaan badannya yang lemah Allahyarham menggagahi dirinya untuk menyempurnakan ibadah Haji dengan jayanya.
Sudah jatuh ditimpa tangga; Ganasnya peragut..
Setelah kembali nya ke Malaysia rawatan kemoterapi di mulakan. Ditakdirkan Allah satu hari dalam bulan April tahun ini Allahyarham mengeluarkan wang sebanyak RM 10 ribu untuk menunaikan zakat. Seusai di bank beliau memandu kereta ke hospital Selayang untuk membeli peralatan pakai buang colostomy beliau. Tanpa disedari Allahyarham rupanya diekori dari bank oleh peragut yang sememangnya menunggu mangsa. Sebaik keluar dari kereta begnya disambar oleh peragut berkereta. Walaupun tubuhnya yang tinggal kurus kering akibat penyakitnya, namun naluri yang diberi Tuhan untuk mempertahankan harta masih kuat dijiwa. Dengan baki tenaga yang ada Allahyarham memegang kemas beg tali beg menyebabkan beliau terseret jauh sebelum tali beg tersebut putus dilarikan peragut yang tidak berperi kemanusiaan. (Ana berasa nak pergi ke bank tersebut dan menyakan siapa dalang yang telah memberikan maklumat kepada peragut, namun sehingga kini pihak polis masih belum berjaya menyelesaikan kes ini). Bila dijumpai Allahyarham dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelah kaki cedera parah; sebahagian tulangnya patah dan kulit serta daging dan tisu kaki hilang, teruk terseret sehingga menampakkan seluruh anatomi dalaman kakinya. Di dalam wad ketika kak Intan mengingatkan jadual kemo yang sepatutnya berlangsung keesokkan harinya, dr yang merawat mengatakan yang beliau lebih bimbang kemungkinan Allahyarham akan kehilangan kakinya . Selepas itu bermulalah episode untuk merawat kaki yang patah dan menutup kehilangan tisu yang begitu luas. Sekumpulan Pakar pembedahan plastik mengambil masa lebih 8 jam membuat pembedahan mengambil daging dan kulit peha untuk disambungkan menutup kakinya yang cedera. Kecederaan ini memberikan kesan yang ketara kepada kesihatan abang Alladad. Daripada boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri , beliau terus terlantar dengan luka yang luas dan beberapa besi orthopedik terrjuntai panjang untuk memegang tulangnya yang patah. Namun kesabaran dan ketabahannya, menanggung kesakitan amat menginsafkan kami. Keceriaannya dan guarauannya tetap menjadi ingatan.
Akhirnya, Allah lebih menyayanginya .......
Pagi hari kematiannya Isnin lepas, Allahyarham meminta K Intan untuk tidak pergi bekerja. Sepagi tu dia minta kakak mengurut-ngurut dadanya.
Sakit ke? Tanya K Intan,
Tak .... Cuma biar lega.... Jawabnya seperti biasa. Begitulah keadaannya hingga ke saat akhir. Bila saatnya hampir tiba... kaki dan tangannya terasa sejuk, pernafasannya semakin perlahan, Allahyarham bertanya kepada kakak, ”nak baca apa ni.....nak baca apa ni..” Lalu diajarkan kakak untuk beristighfar dan bertasyahud .. Lailaha illallah.... ... dan Allahyarham dijemput Allah dengan tenang tengahari Isnin yang lepas. Inna lillahi Wa inna ilaihi raajiun.
Begitulah berlalunya satu episode kehidupan. Semoga menjadi iktibar bagi kita yang masih hidup .
Beramal dan berjuanglah sebelum nyawa berada di tenggorokan . Laksanakanlah tugas dakwah walau di mana kita berada. Tingkatkan jihad kita untuk memerangi hawa nafsu kita sendiri. Lakukan muhasabah diri, adakah kita telah melakukan tugas dakwah kita sebaik dan semampu mungkin. Berkesankah cara kita mentarbiah? meningkatkah kualiti ahli yang kita bina agar mencapai kualiti jundi yang layak diberi kemenangan oleh Allah. Semoga Allah membantu kita semua....... Sekali lagi ana pohon kalian menghadiahkan Al Fatihah untuk Allahyarham Hj Alladad Ibrahim. Al Fatihah....
Jazakalllahukhairan kathira.
Wassalam
Dr Hafidzah & Keluarga
2 comments:
BLOG WALKING
http://situswanita.blogspot.com
alfatihah..
Post a Comment