Wednesday, November 07, 2007

Kenyataan Media JIM:Bencana Kemanusiaan Bakal berlaku dengan pemotongan tenaga dan bahan api di Gaza

Kenyataan Akhbar Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Bencana Kemanusiaan Bakal berlaku dengan pemotongan tenaga dan bahan api di Gaza
Dunia sewajarnya merasa terkejut dengan tindakan semberono rejim zionis untuk memotong bekalan tenaga dan bahan api di Gaza sebagaimana yang dilaksanakan oleh Menteri Pertahanan dan diluluskan oleh Perdana Menteri Israel , Ehud Olmert. Tindakan tersebut adalah satu pelanggaran terang-terangan ke atas hak asasi rakyat Palestin dan merupakan satu lagi manifestasi sekatan ekonomi yang dilaksanakan oleh Israel sejak satu setengah tahun yang lalu untuk mematahkan semangat perjuangan mereka.
Langkah tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang kemanusiaan antarabangsa malah bertentangan dengan undang-undang Israel sendiri, sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh GISHA, sebuah pertubuhan hak asasi yang berpengkalan di Tel Aviv. "Menafikan penduduk Gaza kemampuan untuk hidup secara terhormat, menjalani kehidupan yang normal, untuk bekerja dan menyara diri dan keluarga menyalahi tanggungjawab Israel di bawah Undang-undang kemanusiaan, undang-undang hak asasi dan undang-undang kebangsaan kita sendiri."
Tindakan tersebut menyusuli pengisytiharan Israel ke atas Gaza sebagai 'entiti musuh'. Langkah tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab Israel terhadap Gaza kerana secara teknikalnya, Gaza masih di bawah pendudukan meskipun Israel telah berundur dari wilayah Gaza pada tahun 2005. Dengan mengepung dan mengenakan sekatan ekonomi yang menyeluruh ke atas Gaza , Israel telah menukar Gaza kepada penjara terbesar di dunia.
Berikutan tumpasnya kumpulan Muhammad Dahlan dan kelompok lain yang bersekongkol dengan agenda zionis di tangan kerajaan Gaza , Israel memperketatkan sekatan dengan menutup laluan utama untuk perdagangan dan barangan pengeluaran pertanian di Karni. Ini menjurus kepada kesan yang mendalam ke atas ekonomi Gaza yang telah sedia parah. Petani tidak dapat menjual hasil mereka ke luar Gaza, kilang-kilang memberhentikan operasi dan aktiviti perniagaan langsung terhenti. Semua ini hanya membawa satu makna iaitu krisis kemanusiaan yang di luar jangkauan. Kesan darinya lebih dari 80% penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan makanan dari UNRWA (Agensi Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu). Kini dengan pemotongan tenaga dan bahan api, bencana kemanusiaan pasti akan berlaku.
Kami menyeru masyarakat antarabangsa melalui Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi tekanan diplomatik kepada Tel Aviv supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak meneruskan tindakan ini. Kami juga mendesak US untuk menggunakan pengaruhnya ke atas Tel Aviv, menjelang siding puncak Timur Tengah yang akan berlangsung pada bulan November. Kami juga menggesa Negara-negara umat Islam, terutama OIC untuk memainkan peranan penting di dalam menangani pelanggaran berterusan ke atas hak rakyat Palestin seperti yang berlaku dalam perkembangan terkini.
Tn Hj Ir. Zairulshahfuddin Zainal Abidin
Pengerusi, JK JIM International,
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM),
Lot 300.3 Lorong Selangor
Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur,
Malaysia
Tel: +06-03-4108-9669
Fax: +06-03-4107-1754

No comments: