Thursday, January 17, 2008

Kenyataan Media WJIM: Tuntutan Wanita yang Wajar Dipertimbangkan Menjelang Pilihanraya ke-12

KENYATAAN MEDIA WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)]
16 Januari 2008
TUNTUTAN WANITA YANG WAJAR DIPERTIMBANGKAN MENJELANG PILIHANRAYA KE- 12
Menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Wanita JIM mengambil kesempatan keemasan ini untuk mengemukakan beberapa tuntutan yang dirasakan wajar dan amat perlu dipertimbangkan oleh semua individu dan parti-parti politik yang ingin bertanding merebut kerusi Parlimen dan ADUN. Kami percaya, parti-parti politik sedang rancak menyediakan manifesto pilihanraya masing-masing dan dengan ini, berharap semua tuntutan yang dikemukakan mendapat pertimbangan sewajarnya serta dimasukkan ke dalam manifesto tersebut.
Antara tuntutan tersebut adalah seperti berikut :
1. Pemberian insentif sebagai penghargaan kepada surirumah sepenuh masa
Rasional : Sumbangan kaum wanita terhadap kemajuan dan kemakmuran negara tidak dapat dinafikan lagi. Dianggarkan sebanyak 36% tenaga kerja Malaysia terdiri dari kaum wanita, Walaubagaimanapun, separuh dari golongan ini merupakan suri rumah yang berkhidmat untuk keluarga dan tidak menerima gaji tetap sebagaimana kategori pekerjaan yang lain. Satu anggaran kasar menunjukkan terdapat 2.79 juta wanita di Malaysia adalah suri rumah sepenuh masa pada tahun 2004 yang lalu. Dikatakan purata gaji tahunan seorang surirumah sepenuh masa di USA pada tahun 2007, adalah pada anggaran USD138,000 ( RM 455,00 setahun atau RM 38,000 sebulan).
Tidak keterlaluan untuk mengatakan jasa dan sumbangan wanita sebagai suri rumah sepenuh masa di negara ini belum mendapat penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. Sedangkan golongan ini menjalankan tugas yang amat penting untuk pembangunan modal insan melalui pengukuhan institusi kekeluargaan yang mampu menghasilkan tenaga manusia yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan politik, sosial dan ekonomi negara. Mereka juga merupakan warganegara yang setia, yang tidak pernah ketinggalan menjalankan tanggungjawab politik mereka untuk keluar membuang undi dalam setiap pilihanraya yang diadakan setakat ini.
Wanita JIM menuntut agar pengiktirafan sewajarnya mestilah diberikan oleh kerajaan yang bakal memerintah kepada golongan ini , sebagai satu langkah penghargaan dan mengenang budi. Malaysia seharusnya menjadi sebuah negara yang bukan hanya memartabatkan wanita bekerjaya sahaja, malahan menunjukkan pendirian yang adil dan saksama terhadap golongan ibu dan isteri yang sememangnya dimuliakan Allah. Wanita JIM mencadangkan agar golongan suri rumah diberikan sekurang-kurangnya beberapa insentif seperti di bawah ini :
a.. Saguhati wang tunai sebanyak sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan
b.. Bayaran elaun yang berpatutan mengikut bilangan anak yang dipelihara
c.. Ujian saringan kesihatan asas percuma setiap dua hingga tiga tahun sekali Insentif ini juga wajar diberikan kepada kaum lelaki yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
2. Sistem kehakiman yang lebih `mesra wanita' dan cekap dalam menangani kes-kes berkaitan keluarga
Rasional : Keupayaan dan kebolehan wanita untuk terlibat secara langsung sebagai penjawat jawatan kehakiman sepatutnya tidak lagi menjadi isu. Syariah Islam telah jelas menggariskan tiadanya halangan untuk perlantikan hakim wanita dalam menghakimi kes-kes berkaitan kekeluargaan khususnya. Namun sehingga kini, hakim wanita masih belum dilantik di mahkamah syariah. Dikatakan masih terdapat golongan atasan dan berpengaruh yang tidak bersetuju perlantikan wanita menjadi hakim di mahkamah syariah.
Situasi kekurangan hakim serba sedikit menyumbang kepada penangguhan kes-kes berkaitan perceraian, tuntutan nafkah dan jagaan anak. Longgokan kes-kes tertangguh tidak hanya terdapat di mahkamah syariah, malahan dikatakan juga di mahkamah sivil. Kajian perbandingan yang dijalankan oleh Prof. Madya Noor Aziah Awal , pensyarah UKM pada tahun 2001 menunjukkan sebanyak kira-kira 19% kes perceraian masih tertangguh di mahkamah syariah Negeri Selangor dalam masa 12 bulan berbanding 30% di mahkamah sivil.
Kerajaan yang bakal menerajui negara selepas pilihanraya kali ini didesak untuk memastikan mahkamah-mahkamah di Malaysia meletakkan keutamaan untuk menangani konflik keluarga dengan baik dan sejahtera, terutamanya yang melibatkan pertembungan agama dan budaya. Pendekatan yang lebih mementingkan kebajikan dan masa depan ahli keluarga khususnya anak-anak yang terbabit mestilah diutamakan melalui perundingan luar mahkamah, melibatkan orang tengah ( sistem suluh) dan kaunselor keluarga secara aktif, dan bukannya terus diselesaikan di dalam bilik-bilik mahkamah. Negeri-negeri yang masih belum melaksanakan sistem suluh ( mediator / orang tengah) dalam sistem kehakiman syariah digesa melaksanakannya dengan kadar yang segera.
3. Keselamatan wanita dan kanak-kanak terjamin dan terpelihara
Rasional : Kebelakangan ini, kadar jenayah berprofil tinggi yang melibatkan wanita dan kanak-kanak begitu membimbangkan. Tempat umum mahupun rumah sendiri tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak. Pembunuhan adik Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie memberi petanda jelas persekitaran kita tidak lagi selamat. Penguatkuasaan undang-undang ciptaan manusia nampaknya gagal menimbulkan kegerunan pada pelaku-pelaku yang kejam dan tanpa perikemanusiaan ini.
Kerajaan yang bakal memerintah mestilah berusaha keras untuk mengelakkan tragedi pembunuhan kejam berulang melalui kesungguhan dan komitmen mempertingkatkan keselamatan, menangani masalah penagihan dadah yang menjadi punca utama jenayah, menimbulkan kesedaran terhadap tanggungjawab ibu dan bapa serta meningkatkan kemahiran pengurusan keluarga masing-masing. Penggubalan undang-undang yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, penguatkuasaan yang lebih efektif dan bebas dari sebarang unsur rasuah akan dijamin mampu menimbulkan keharmonian dan kesejahteraan yang diidam-idamkan.
Wanita JIM mendesak agar semua parti-parti politik mengambil perhatian terhadap semua tuntutan di atas dan memastikan kesemuanya dimasukkan ke dalam manifesto pilihanraya mereka. Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, aman makmur dan bahagia untuk semua!
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat ( 2007-2009)
012-3243134

No comments: