Monday, March 02, 2009

Wacana Wanita Dan Krisis Ekonomi Global: Cabaran, Harapan Dan Saranan

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak, 28 Februari 2009: Berikutan dengan masalah ekonomi yang dialami sekarang, Wanita JIM Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia telah menganjurkan satu Wacana Wanita Dan Krisis Ekonomi Global: Cabaran, Harapan Dan Saranan.

Objektif utama wacana ini adalah untuk menghuraikan mengenai krisis ekonomi global semasa, menyenaraikan kesan dan impak krisis ekonomi global kepada masyarakat, keluarga dan wanita, dan merangka strategi mengatasi impak negatif krisis kepada diri, keluarga dan masyarakat sekitar.

Seramai 30 peserta telah menghadiri wacana ini. Pengisian yang disampaikan oleh ahli-ahli panel yang dijemput amat berkesan dalam memahami krisis ekonomi yang sedang dialami sekarang. Program dimulai dengan kata-kata aluan oleh PM Dr Harlina Halizah Hj Siraj. Seterusnya Prof Madya telah membacakan kenyataan media berhubung krisis yang berlaku sekarang iaitu Waspada Terhadap Kesan Krisis Ekonomi Ke Atas Wanita Dan Keluarga.

Wacana diteruskan dengan sesi interaktif pertama oleh Prof Mohd Nazari Ismail, pensyarah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya. Beliau telah membentangkan mengenai Financial Crises: Can they be prevented?. Pembentangan selama 45 minit ini memberikan kita gambaran mengenai keadaan ekonomi dunia sekarang. Menurut Asia Development Bank, krisis ekonomi Asia yang dialami sebenarnya lebih teruk daripada tsunami kerana ia memberikan kesan kepada seluruh dunia. Pelbagai input diperolehi dalam sesi perbentangan ini yang merangkumi sejarah, keadaan ekonomi Negara-negara luar seperti Argentina, Jepun dan US dan kesan krisis ini kepada penduduknya.

Seterusnya, Cik Nadiah Mat Soonan, Perunding Kewangan daripada Hijrah Wealth Management Sdn Bhd telah membentangkan Cara Menangani Kemelesetan Ekonomi Melalui Pengurusan Kewangan Efektif. Beliau telah memberikan penerangan mengenai keadaan ekonomi di Malaysia, langkah yang patut diambil jika berhadapan dengan pembuangan kerja, cara untuk menghadapi kegawatan ekonomi sekarang dan kaedah yang boleh diambil oleh setiap keluarga untuk memastikan kewangan keluarga terjamin. Formula-formula yang telah diberikan boleh dijadikan panduan untuk seseorang merancang keadaan kewangannya.

Sesi rumusan dan saranan telah disampaikan oleh Dr Ahmad Zainuddin Abdullah (JK Ekonomi JIM Pusat). Banyak persoalan telah dibangkitkan menerusi wacana ini. Secara keseluruhan, semua panelis menekankan mengenai ‘JANGAN BERHUTANG’ sebagai cara untuk mengelakkan kegawatan daripada semakin teruk. Semua disaran merancang kewangan masing-masing mulai sekarang dan perlu tahu kemampuan diri sendiri dalam berbelanja.

Sebagai penutup, selain perancangan kewangan, seseorang itu juga perlu ada perancangan rohani. Menurut buku Berani Kaya Berani Takwa penulisan Anif Sirsaeba, seseorang yang mempunyai sifat bertakwa, bertaubat, tawakal, beribadah dan menyembah Allah, bersyukur, membina silaturrahim, menunaikan haji, berinfak di jalan Allah, berhijrah kerana Allah, menikah, membantu penuntut ilmu, berbuat baik kepada fakir miskin, jujur dalam berniaga, menjadikan akhirat sebagai tujuan utama dan berusaha dan berdoa mempunyai ciri-ciri seseorang yang mempunyai perancangan rohani.

Wacana ini berakhir kira-kira pukul 1.00 tengahari.

No comments: