Monday, March 02, 2009

KENYATAAN MEDIA: WASPADA TERHADAP KESAN KRISIS EKONOMI KE ATAS WANITA DAN KELUARGA

KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
28 Februari 2009
WASPADA TERHADAP KESAN KRISIS EKONOMI KE ATAS WANITA DAN KELUARGA
Krisis ekonomi global sudah mula dirasai oleh masyarakat umum. Laporan dan ramalan yang menunjukkan krisis ekonomi global kali ini lebih meruncing dari krisis yang terdahulu pada tahun 1998 seharusnya menimbulkan kesedaran agar kita mengimbau kesan langsung dan tidak langsung kepada masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Dengan ribuan pekerja dibuang dan diberhentikan dari pekerjaan yang selama ini menjadi punca pendapatan utama, tekanan mental, emosi dan perasaan akan semakin ketara kepada setiap individu yang terlibat. Bagi yang masih punya pekerjaan, rasa bimbang dan runsing memikirkan ketidakpastian yang mungkin menimpa mereka, juga akan menimbulkan kesan negatif kepada kesejahteraan minda dan emosi.
Dalam satu nota yang dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pembangunan Sosial (Commission of Social Development), Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Januari 2009, bertajuk `The current global crises and their impact on social development’ mengatakan :

`There is evidence that in times of economic hardship, social cohesion comes under threat, with rising social tensions that can potentially lead to increases in violence. It is a common perception that during a crisis and economic downturn, people fear for their own economic future, resulting in a heightened sense of competition for jobs and lower support for affirmative action policies to close social gaps. There is also a tendency for violence to increase in general, but especially interpersonal violence and violence against women linked to economic stresses. Indeed, recent news reports and data collected by centres for domestic violence, including in the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland and the United States of America, have noted an upsurge in domestic violence in 2008. Simultaneously, budget cuts to social services and health providers have made it more difficult for local domestic violence programmes to meet the needs of their communities.

Banyak laporan yang menunjukkan kadar pengangguran dan pemberhentian kerja yang meningkat akibat dari krisis ekonomi global akan secara terus meningkatkan bilangan individu yang menunjukkan gejala-gejala kemurungan dan keresahan (anxiety). Menurut satu kajian yang dilaporkan oleh Royal College of Psychiatrist di United Kingdom pada tahun 1998, didapati seorang dari tujuh lelaki yang tidak bekerja akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan dalam tempoh enam bulan. Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Lewis, G. dan Sloggett, A. yang diterbitkan dalam British Medical Journal vol. 7168 pada 1998 mendapati pengangguran dikaitkan dengan penambahan kadar bunuh diri di kalangan lelaki. Kemurungan atau depression di kalangan lelaki pula sering dikaitkan dengan peningkatan sifat agresif dan keganasan. Ini secara tidak langsung akan menambahkan kadar keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, juga peningkatan kadar jenayah rompak, samun, ragut dan homisid.
Wanita JIM amat peka dengan kesan–kesan negatif akibat krisis ekonomi global ini yang seharusnya ditangani bersama oleh semua lapisan masyarakat. Wanita JIM merayu agar semua pihak bersedia untuk membantu anggota masyarakat serta keluarga mereka yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi ini.
Wanita JIM menggesa agar :

1. Pihak kerajaan memberikan bantuan latihan kemahiran asas keusahawanan kepada mereka yang diberhentikan kerja untuk meningkatkan kapasiti meneruskan pencarian sumber kehidupan dengan cara yang halal dan berkesan.

2. Pihak agensi kewangan seperti pusat-pusat zakat memberikan bimbingan pinjaman modal bagi mereka yang berusaha keras memulakan perniagaan bagi menampung kehidupan. Langkah proaktif yang diambil oleh Lembaga Zakat Selangor dalam memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan terus dengan pembuangan kerja amat dialu-alukan dan patut dicontohi oleh agensi kewangan yang lain.

3. Pusat-pusat komuniti dan tempat ibadah seperti masjid, gereja dan kuil di lokaliti setempat mengadakan sesi-sesi kaunseling individu atau berkelompok bagi memberikan sokongan moral kepada individu yang diberhentikan kerja serta keluarga mereka yang terkesan sama.

Wanita JIM membantah sebarang langkah kerajaan menokok beban tambahan ke atas rakyat yang sedia tersepit dengan kemelesetan ekonomi ini seperti kenaikan kadar tol atau kenaikan harga makanan dan keperluan asas rakyat.

Sekarang adalah masanya semua pihak menunjukkan sifat keprihatinan yang tinggi dan bersifat dermawan di samping mengambil langkah berjimat cermat.


Prof. Madya Dr.Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat

No comments: