Monday, March 09, 2009

SEMINAR MENANGANI ISU-ISU KEKELUARGAAN ISLAM

Seminar Menangani Isu-isu Kekeluargaan Islam telah dianjurkan oleh Wanita Jamaah Islah Malaysia, Kemaman pada 07 Februari 2009 (Sabtu) bersamaan 12 Safar 1430H. Seminar ini berlangsung di Dewan Seri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bermula pukul 8.15 pagi.

Seramai 157 orang peserta telah menyertai seminar ini. Beberapa pertubuhan NGO turut hadir untuk memeriahkan suasana. Antaranya ialah PETRONITA, PUSPANITA, ABIM dan Persatuan Ibu-ibu Tunggal Kemaman.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, Dato’ Ismail Yahya. Beliau juga telah membentangkan kertas kerja pertama yang bertajuk “Hak-hak Suami Isteri”. Kertas kerja beliau menekankan hak-hak yang perlu diketahui oleh sepasang suami isteri dalam melayari bahtera rumahtangga. Rumahtangga yang disandarkan dengan ilmu, sakinah wa rahmah akan melahirkan rasa tanggungjawab dan semangat pengorbanan bagi membahagiakan antara satu sama lain. Beliau juga banyak menekankan hak-hak harta sepencarian, faraid dan hibbah/wasi.

Selepas tayangan multimedia, kertas kerja kedua, Undang-undang Keluarga Islam pula disampaikan oleh Dr. Normi Abdul Malik, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau menfokuskan pembentangan di dalam bab munakahat dan keluarga, bermula dari proses pertunangan, berkahwin, poligami mengikut undang-undang, nafkah anak, pembubaran perkahwinan hinggalah bab hadhanah (hak penjagaan anak selepas penceraian).

Melalui soal-selidik yang telah diisi oleh para peserta, didapati lebih daripada 90% daripada yang hadir amat berpuas hati dengan pembentangan kedua-dua kertas kerja. Semoga seminar akan datang mendapat penyertaan yang lebih daripada kaum lelaki.

Laporan:
Puan Siti Norbaya Abdul Rahman
Setiausaha WJIM Terengganu

No comments: