Monday, March 30, 2009

Wacana Wanita dan Keadilan Syariah

KUALA LUMPUR, Khamis 26 Mac 2009 - Program Wacana Wanita dan Keadilan Syariah dengan tema, "Berkongsi Keprihatinan Masa Depan: Syariah Penyuluh Kehidupan Seimbang" telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Hadhari, Pusat Islam Malaysia.
Wacana ini adalah anjuran bersama Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI) di bawah Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan diadakan sempena Hari Wanita Sedunia 2009

Objektif utama Wacana ini adalah untuk menjelaskan konsep keadilan dan kesamarataan dalam hubungan kekeluargaan lelaki dan wanita menurut perspektif syariah Islam dan memperincikan huraian Al-Quran mengenai `nusyuz' suami dan isteri serta saranan penyelesaiannya. Di samping itu, ia juga mengenengahkan strategi penambahbaikan implementasi sistem perundangan syariah khususnya berkaitan kekeluargaan di Malaysia.

Wacana ini telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Ustaz Che Mat Che Deraman pada jam 8.30 pagi dan dihadiri lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan, swasta, pasangan suami isteri, pelajar IPT dan wakil pelbagai persatuan.
Dalam wacana ini, PM Dr Harlina Halizah Hj Siraj telah memberikan ucaptama yang bertajuk "Keadilan & Kesaksamaan dalam Kehidupan Berkeluarga menurut Perspektif Syariah"

Pembentang pertama, Ustaz Alias Othman telah membentangkan tajuk "Huraian Al-Quran tentang Nusyuz Suami & Isteri: Pengertian & Penyelesaian". Dalam pembentangan ini, dijelaskan nusyuz isteri, nusyuz suami, tindakan jika pasangan nusyuz dan langkah penyelesaian untuk mengatasai masalah suami isteri nusyuz. Penjelasan mengenai suami isteri nusyuz ini amat penting supaya tidak berlaku kezaliman kepada kaum isteri jika suaminya nusyuz dan suami itu tidak terlepas daripada hukuman yang sepatutnya mereka tanggung jika berlaku nusyuz pada isteri dan begitulah sebaliknya.
Seterusnya, Puan Sazira Abd Aziz, Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie, telah membentangkan mengenai "Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia: Satu tuntutan". Beliau menjelaskan mengenai sistem kehakiman di Malaysia, perbezaan mahkamah syariah dan mahkamah sivil, kes-kes yang dirujuk di mahkamah syariah dan penyelesaianya.

Akhirnya, Puan Faridah Maludin, selaku pengarah wacana dan Pengurus PAKSI telah memberikan rumusan di mana perlu diberikan penekanan dan pemahaman yang jelas terhadap isu-isu syariah ini supaya hak-hak mereka terutamanya isteri terbela.

No comments: