KENYATAAN MEDIA
SEMINAR MENANGANI ISU WANITA ISLAM (SMIWI)
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor
Pada hari ini Ahad, 26hb April 2009 bersamaan dengan 30 Rabiulakhir 1430H, Wanita JIM Negeri Selangor dan Pejabat Exco Hal-ehwal Wanita Negeri Selangor telah mengadakan Seminar Menangani Isu Wanita Islam (SMIWI) bagi memberikan kesedaran agar wanita memperkasakan diri mereka menghadapi segala kemelut kehidupan.
Statistik di Kementerian Sumber Manusia melaporkan bahawa dalam tempoh Oktober 2008 sehingga 20 April 2009, seramai lebih 16,000 orang telah kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi yang melanda negara. Seramai 2,000 orang telah diberhentikan kerja sepanjang tiga minggu dalam bulan April sahaja. Sementara itu, lebih 22,000 orang mengalami pengurangan gaji semenjak Oktober 2008 dengan peningkatan sebanyak 2,500 orang dalam bulan April ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pekerjaan yang paling terkesan adalah sektor pembuatan dan perkilangan. Impak krisis ekonomi lebih lagi dirasai oleh keluarga besar yang hidup di bandar-bandar besar dengan pendapatan yang kecil. Institusi keluarga amat terkesan dengan kegawatan ekonomi apabila pertelingkahan yang sering timbul akibat sumber pendapatan yang mengurang sedangkan kos kehidupan terus meningkat. Krisis ekonomi juga menyumbang kepada meningkatnya kadar jenayah seperti samun, mencuri dan rompak serta tidak kurang juga jenayah kolar putih seperti rasuah dan pecah amanah. Pakar penganalisis meramalkan bahawa apa yang berlaku sekarang hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang masih terpendam.
Belum lagi kita diredakan oleh kegawatan ekonomi, negara digemparkan pula oleh laporan akhbar mengenai seorang remaja perempuan yang telah dicabul dan dianiayai oleh bapa dan dua abang kandungnya sendiri selama beberapa tahun. Pada hemat saya, keruntuhan akhlak dalam masyarakat negara kita kini berada pada tahap yang sangat rendah dan amat membimbangkan. Kaum keluarga lelaki yang seharusnya menjadi pelindung kepada gadis ini, sudah tercabut segala sifat kemanusiaan malah berkelakuan lebih jelek dari haiwan. Adakah tidak langsung terlintas di fikiran mereka bahawa tindakan tidak berperikemanusiaan mereka itu telah memusnahkan kehidupan seorang insan? Kenapa dipilih untuk melakukan maksiat sedangkan Allah swt telah menjadikan setiap manusia juga berkeinginan untuk melakukan kebaikan sebagaimana firman Allah swt dalam surah Ash-Shams ayat 7 hingga 10 yang bermaksud:
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”
Masyarakat tidak seharusnya hanya sekadar sibuk bercakap kosong tentang peristiwa ini tanpa mengambil langkah-langkah konkrit mencegahnya dari berlaku lagi. Sudah tiba masanya setiap individu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memulihkan keseluruhan keadaan masyarakat sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur’an dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.
Kita harus menerima hakikat bahawa penyelesaian yang sebenarnya bagi menghadapi krisis akhlak dan ekonomi perlu bersifat holistik merangkumi langkah-langkah pencegahan dan rawatan. Allah s.w.t telah menggariskan satu cara hidup yang jelas dalam Islam yang merangkumi kesemua aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan politik; manfaatnya adalah untuk seluruh manusia dan alam, bukan sekadar untuk orang Islam sahaja.
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor bertekad untuk mengajak orang ramai bersama-sama memahami kaedah-kaedah kehidupan yang sudah sedia termaktub dalam Islam. Penghayatan ajaran Islam yang menyeluruh mampu memperkasakan setiap individu untuk membuat pertimbangan yang bijak dalam menghadapi gelombang kehidupan. Tidak mustahil untuk kita menyaksikan suasana masyarakat yang aman apabila setiap individu menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin. Lantaran itu, kami meyakini bahawa tiada jalan lain lagi bagi kita menghadapi krisis kehidupan yang melanda kini selain dari kembali melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya.
Kami juga menyedari bahawa masyarakat kini sudah tenat dengan pelbagai masalah sosial dan perlu diberi rawatan yang sewajarnya. Kami amat menyokong usaha-usaha semua pihak menyediakan sistem dan prasarana bagi membantu golongan yang telah teraniaya ini mendapat sokongan dalam bentuk rawatan perubatan fizikal dan mental serta diberi pembelaan yang sepatutnya. Pihak Wanita JIM Negeri Selangor amat mengalu-alukan langkah-langkah meningkatkan perkhidmatan ‘One Stop Crisis Centre (OSCC)’ yang sudah wujud di hospital-hospital seluruh Selangor. Kami akan terus menyeru kaum wanita seluruh negeri Selangor untuk memperkasakan diri mereka memperbaiki kehidupan mereka. Kami berharap program seperti SMIWI ini akan membantu keseluruhan usaha meningkatkan kualiti kehidupan wanita di negara kita.
Dalam kesempatan ini, Wanita JIM Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Exco Hal-ehwal Wanita Negeri Selangor kerana bersama-sama menganjurkan majlis pada hari ini. Kami berharap agar segala usaha kita dengan semua pihak akan mencapai matlamat kita untuk membantu menyelesaikan kemelut kehidupan dalam masyarakat kita.
Semoga Allah swt memberkati usaha ini.
Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Timbalan Ketua Wanita JIM Selangor
26 April 2009
No comments:
Post a Comment