Saturday, November 14, 2009

Hari Ihtifal Brilliant Kindy 2009

Hari Ihtifal Brilliant Kindy telah diadakan pada 8hb November 2009 bertempat di Auditorium Perpustakaan Awam Bintulu. Hari Ihtifal ini telah dirasmikan oleh wakil Wanita JIM Pusat Pn Hjh Ir Endok Sempo bt Mohd Tahir.

Brilliant Kindy merupakan sebuah tadika yang diuruskan oleh Wanita JIM Sarawak. Ia adalah sebuah tadika yang mempunyai visi untuk melahirkan insan soleh wa musleh disamping memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris murid-murid di tadika ini. Banyak aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada mereka dari awal lagi tentang pentingnya ‘volunteerism’ di dalam kehidupan seorang muslim. Pn Hj Ir Endok telah berkongsi dengan ibubapa tentang peranan mereka di dalam mendidik anak-anak di zaman yang mencabar ini.

Ucapan dari Pn Hjh Ir Endok dan pemberian sejambak bunga kepada jemputan khas

kita dari Adik Yasmin, anak kepada Akhi Roslan, Timbalan YDP JIM Bintulu.

Persembahan dari anak-anak Brilliant Kindy bermula selepas ucapan rasmi. Ianya dimulakan dengan bacaan Azan dan AlQuran serta terjemahannya oleh anak-anak dari Brilliant Kindy. Sejurus selepas itu, kesemua murid dari umur empat hingga enam tahun telah naik ke pentas untuk menyampaikan Nasyeed Doa Pagi, Asmaulhusna , Demi Matahari dan Children of the World dengan aksi mereka yang berbagai-bagai dan sangat membanggakan.

Beramai-ramai menyampaikan Doa Pagi .

Montaj yang menggambarkan Tadika Brilliant Kindy serta aktiviti-aktiviti murid dan guru ditayangkan selepas itu. Montaj yang diselitkan lagu Zain Bhika itu telah menarik perhatian ibubapa yang hadir. Ramai yang telah membuat tempahan untuk membeli montaj-montaj yang ditunjukkan pada hari itu.

Selepas itu anak-anak yang berumur 6 tahun membuat persembahan yang bertajuk ‘Give Thanks to Allah’ dan ‘Allah Yang ku Cintai’. Acara seterusnya yang turut membawa keceriaan hari itu adalah persembahan anak-anak 4 tahun yang menggayakan fesyen-fesyen Islam. Gaya anak-anak yang comel ini telah menarik banyak klik kamera dari bawah pentas.

Program yang dinanti-nantikan adalah persembahan pentomim daripada anak-anak 6 tahun. Pentomim yang menceritakan kisah Nabi Musa dan Firaun sangat menarik perhatian ibubapa dan anak-anak lain. Pentomim menggambarkan Firaun, Asiah dan pengikut-pengikut mereka. Dengan membawa beberapa patung kecil, anak-anak perempuan berlakun sebagai umat zaman Nabi Musa yang dirampas anak-anak mereka oleh Firaun yang zalim. Persembahan pentomim oleh anak-anak 6 tahun itu sangat efektif dan dapat menyebabkan penonton menghayati kisah itu.

Anak-anak 6 tahun – pelakon-pelakon Pentomim Nabi Musa dan Firaun

Sebelum upacara penyampaian sijil kepada anak-anak yang akan meninggalkan Brilliant Kindy, anak-anak 5 tahun telah menyampaikan persembahan mereka bertajuk ‘Terimakasih Tuhan’, ‘You are my Sunshine’ dan ‘Old McDonald’

Upacara kemuncak pada hari itu adalah penyampaian sijil untuk Kelas 2009. Sebelum upacara itu, sebuah lagi montaj telah ditayangkan. Montaj kali ini menunjukkan gambar-gambar anak-anak 6 tahun semasa menjalankan aktiviti-aktivit mereka semasa berumur 4, 5 dan 6 tahun. Selepas itu, gambar-gambar mereka dengan jubah ihtifal mereka juga ditayangkan.

Seterusnya, penyampaian sijil kepada anak-anak 6 tahun telah di lakukan oleh Pn Hjh Ir Endok Sempo, diiringi oleh Pn Haziaah Sahari, wakil Ketua Wanita JIM Sarawak yang tidak dapat hadir pada hari itu.Program berakhir pada pukul 4:50 petang diikuti dengan minum petang.

Laporan Oleh : Pn Haziaah Sahari, Timbalan Ketua Wanita JIM Sarawak & Ketua Wanita JIM Bintulu

Anak-anak 6 tahun dengan jubah ihtifal mereka

1 comment:

Anonymous said...

satu perkembangan yang baik. tahniah dgn penulisan yang pertama..