Monday, July 19, 2004

Adakah si dia jodoh saya?

Saya telah membaca artikel Prof. dalam Ruangan Agama, Berita Harian. Terima kasih atas peringatan Prof berkenaan amalan zikir itu, terutamanya untuk diamalkan oleh wanita. Cuma, disini saya benar-benar inginkan pandangan dan nasihat daripada Prof berkaitan Soal Jodoh dalam Islam.

Untuk pengetahuan Prof, saya adalah wanita muslimah yang bekerja dan berusia 25 tahun. Saya mempunyai niat untuk berumahtangga dan membina keluarga yang soleh.

Akhir tahun lepas saya telah kenal seorang lelaki kerana urusan kerja dan kebetulan ayah saya mengenali beliau. Ayah menyatakan yang dia berkenan dengan lelaki itu padahal saya dan dia masih tiada apa-apa hubungan yang istimewa. Kami berhubung atas urusan kerja. Setelah menilai dia sedikit sebanyak, saya merasakan telah menemui lelaki yg sesuai untuk memimpin saya dalam rumahtangga. Latarbelakang agamanya bagus, mempunyai karier dan masa depan yang cerah, akhlaknya bagus dan dia datang daripada keluarga yg berada. Walaupun kurang dari segi ‘handsome’, saya tidak memandang kepada rupa kerana saya juga bukanlah tergolong dalam wajah yang cantik. Tetapi akhlaknya indah. Tetapi saya sedikit segan kerana takut sukakan dia kerana harta. Saya sentiasa ingatkan diri agar itu bukanlah keutamaan. Setahu saya, dia juga masih mencari calon yang sesuai, umurnya lebih 5 tahun daripada saya, dan ini menepati nasihat daripada ibu agar mencari lelaki yang beberapa tahun lebih tua, agar dia lebih matang. Dan mungkin ini satu kebetulan.
Akibat hasrat daripada ayah itu, saya yang sebelum ini hanya menganggap dia sebagai kawan kerja, mula meminati dia dalam diam. Saya sentiasa membuat solat hajat, berdoa dan zikir, memohon pada Allah agar dipermudahkan, dipercepatkan jodoh, semoga dialah lelaki yg terbaik untuk saya, semoga hasrat ayah dan ibu termakbul dan semoga impian jodoh saya menjadi kenyataan. Rasanya mustahil untuk saya yg mulakan dulu memberitahu isihati saya terhadap dia. Saya takut kecewa dan malu. Kerana sebelum ini saya tidak bernah bercinta dan tidak mengenali mana-mana lelaki lebih rapat walaupun sebagai kawan. Masalah saya di sini, saya mahukan kepastian, adakah dia jodoh saya yg Allah takdirkan, dan sampai bila saya harus menunggu, dan bagaimana nak saya tenangkan hati yg asyik teringatkan dia setiap saat nafas saya. Mungkin Prof. boleh bagi nasihat untuk saya amalkan mengikut ajaran Islam, bagaimana supaya terbuka pintu hati dia untuk mendekati, mencintai dan melihat saya sebagai wanita yg dia perlukan dalam hidupnya, bersamanya dan menjadi pasangannya mempunyai anak-anak yang soleh dan keluarga bahagia. Doakan saya Prof. Kata-kata nasihat daripada Prof. saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Muslimah Sejati.

Jawapan:


Wa'alaikumus-Salam wr.wb

1.Pertama saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada saudari yang mampu berpegang teguh pada tuntutan Islam, khususnya dalam soal pergaulan antara lelaki dan perempuan. Dalam dunia yang kesluruhan suasananya diwarnai oleh gaya hidup Barat masa kini, amat sukar mencari unsur baik yang tetap iltizam dengan landasan Islam. Teruslah istiqamah dengan sikap yang baik itu.
2. Dalam usia seperti yang dinyatakan itu, memang sewajarnya seorang gadis memikirkan soal membina keluarga bahagia. Kalau saudari merasakan pemuda itu memiliki ciri-ciri seorang lelaki yang solih, maka cara terbaik ialah lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Khadijah. Beliau mengutus sahabatnya Nafisah untuk merisik atau meninjau pandangan Muhammad terhadapnya. Apabila ternyata Muhammad juga menaruh perasaan yang sama, lalu Nafisah mencadangkan agar Muhammad meminang Khadijah. Jadi saudari boleh meminta bantuan kawan yang boleh dipercayai untuk melakukan tugas Nafisah itu. Jika ditakdirkan usaha itu berjaya, syukur kepada Allah. Jika sebaliknya, maka yakinlah bahawa di sisi-Nya ada jejaka yang lebih sesuai yang disediakan untuk saudari. Teruslah berdoa dan meminta pertolongan-Nya. Allahu A'lam.






No comments: